Cari @ Amanz

Galaxy S2 Dilahirkan Semula

Ramai yang sering kritik Samsung kerana binaan berasaskan plastiknya, dan juga rekabentuk peranti yang tidak begitu cantik berbanding beberapa pengeluar lain. Kini, pada tahun 2014, pihak Samsung dilihat telah mula mengubahnya, dan mula menggunakan bahan binaan berasaskan logam untuk bingkai peranti.

Penggunaan tersebut dimulakan dengan peranti Samsung Galaxy Alpha yang mana membawakan rekaan saiz yang amat selesa untuk digunakan di tangan, disamping rekaan peranti yang mana dilihat seumpama kemaskini kepada keluarga Galaxy S2 sebelum ini.

Fokus Pada Rekaan Berasaskan Bingkai Logam

Samsung Galaxy Alpha

Menjadi fokus utama pada telefon pintar Galaxy Alpha ini adalah rekaan luaran peranti berkenaan – yang mana membawakan bahan binaan berasaskan logam pada bahagian bingkai, dan pada bahagian belakang ia membawakan rekaan kerangka dengan teksturnya tersendiri.

Kami telah mencuba Galaxy Alpha berwarna putih (ia hadir dalam beberapa warna termasuk hitam dan biru), dan kami dapati peranti ini tampak jauh lebih cantik berbanding Galaxy S5 yang turut digunakan kami.

Mungkin juga saiz skrinnya yang bersaiz sekitar 4.7-inci ini memainkan peranan dalam membuatkan ia tampak lebih kemas dan menarik perhatian berbanding beberapa peranti lain di pasaran.

Dari segi spesifikasi, ia membawakan skrin dengan resolusi 1280×720 pixel, kamera hadapan 2.1-megapixel, kamera belakang 12-megapixel, sokongan pengimbas cap jari, dan dilengkapi cip pemprosesan lapan-teras (1.8Ghz + 1.3Ghz). Ia turut menggunakan memori sebanyak 2GB RAM, ruangan storan 32GB dan juga bateri berkapasiti 1860mAh.

Samsung Galaxy Alpha

Ia masih menggunakan TouchWiz daripada Samsung, dimana ia menawarkan pengalaman penggunaan perisian lebih kurang seperti kebanyakkan peranti Samsung yang lain – dan turut dilengkapi fungsi seperti Download Booster, Private Mode dan juga kawalan melalui pengimbas cap jari.

Penutup

Samsung Galaxy Alpha

Samsung Galaxy Alpha dilihat seperti eksperimen pertama daripada Samsung untuk bingkai berasaskan logam. Walaupun Galaxy Note 4 turut menggunakan rekaan yang lebih kurang sama, tetapi kami dapati Galaxy Alpha tampak lebih cantik berbanding Galaxy Note 4. Apa pun, seperti biasa, kedua-dua peranti ini memfokuskan kepada pasaran yang berbeza.

Ia tidak diketahui lagi berapakah harga pasaran Galaxy Alpha kelak. Samsung Malaysia mungkin menjualnya di Malaysia tidak lama lagi, dan mungkin ia tidak membawakan harga yang premium memandangkan pelbagai spesifikasi yang disertakan hanyalah sekadar spesifikasi pertengahan peranti sahaja.

Mungkinkah dengan tahun 2015 menjelang tiba, kita mungkin akan dapat melihat lebih banyak peranti yang cantik daripada Samsung?

[amanz-gallery]

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd