IFA 2014 – HTC Desire 820 : Telefon Selfie Dari HTC Dengan Cip 64-bit
HTC

IFA 2014 – HTC Desire 820 : Telefon Selfie Dari HTC Dengan Cip 64-bit

Diterbitkan pada Sep 9, 2014 oleh .

Bersempena dengan IFA 2014, pihak HTC turut tidak ketinggalan, dimana mereka telah memperkenalkan telefon pintar baru dibawah keluarga HTC Desire 8. Telefon pintar yang dikenali dengan nama HTC Desire 820 ini dilihat memfokuskan kepada sokongan selfie, selain turut hadir dengan cip pemprosesan 64-bit bersama-sama dengannya.

Rekabentuk

HTC Desire 820

HTC Desire 820 boleh dikatakan sebagai kemaskini kepada model HTC Desire 816 yang telah diperkenalkan pada MWC 2014 yang lepas. Model baru ini membawakan sedikit kemaskini pada rekabentuk, dimana kini ia lebih ringan dan nipis, disamping membawakan rekaan jalur berwarna pada bahagian tepi peranti.

Menurut pihak HTC, bahagian jalur tepi ini tidak akan hilang begitu sahaja seperti beberapa peranti lain setelah digunakan untuk seketika. Untuknya, pihak HTC hadir dengan perwarnaan beberapa kali, dan menggunakan bahan khusus untuknya.

Dari segi saiz skrin, ia menyertakan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan 720p, dan dilengkapi dengan cip pemprosesan Snapdragon 615 yang mana merupakan cip pemprosesan lapan teras daripada Qualcomm dengan sokongan 64-bit.

Cip pemprosesan ini juga turut dilengkapi dengan sokongan rangkaian LTE, dan pihak HTC melengkapkan telefon pintar ini dengan memori sebanyak 2GB RAM, sokongan kad mikro-SD, dan hadir dengan sokongan dwi-SIM dimana kedua-duanya menggunakan SIM bersaiz nano.

Untuk kamera, ia menyertakan kamera belakang 13-megapixel, dan dengan fokus terhadap selfie, ia menyertakan kamera hadapan 8-megapixel.

Kamera Selfie Dan Fungsi Mengabungkan Wajah

HTC Desire 820

Pada HTC Desire 820, pihak HTC dilihat memfokuskan kepada kamera hadapan dengan sokongan selfie. Perkara ini tidak mengejutkan memandangkan beberapa pengeluar sedia memfokuskan untuk peranti khusus selfie – seperti Sony, Nokia, Acer dan sebagainya.

Melalui HTC Desire 820, dua mod khusus disediakan untuk kamera hadapan. Ia dinamakan sebagai Selfie, dan juga Photo Booth.

HTC Desire 820 Selfie

Untuk mod selfie, pihak HTC menawarkan sokongan make-up masa-nyata, dimana pengguna boleh menambah kesan untuk menghilangkan jerawat dan jeragat pada gambar wajah dalam bentuk masa-nyata.

Untuk Photo Booth pula, sebanyak empat gambar dirakamkan dan ia digabungkan menjadi satu gambar – sama seperti gambar yang dirakamkan pada photo-booth. Pengguna boleh menetapkan bagaimana mereka ingin membuat tetapan rakaman untuk empat-empat gambar tersebut – sama ada mengabungkan ia secara bersebelahan ataupun secara menegak.

Satu lagi efek khusus yang disertakan oleh HTC pada Desire 820 ini adalah sokongan Face Fusion. Menggunakannya, pengguna boleh mengabungkan dua wajah menjadi satu. Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu merakamkan gambar dua wajah, dan kemudian menggunakan mod penyuntingan, mengakses kepada bahagian Face Fusion.

Penutup

Pihak HTC mengatakan mereka akan menawarkan ia bermula penghujung bulan ini di beberapa pasaran secara berperingkat. Malaysia mungkin turut akan menerimanya, memandangkan peranti HTC Desire 816 telah sedia dilancarkan di Malaysia.

Apa pun, salah satu perkara yang akan menjadi persoalan sebelum pengguna mendapatkannya adalah tentunya mengenai harga peranti tersebut. Sebelum ini, HTC Desire 816 telah dijual pada harga RM1199. Berkemungkinan harga HTC Desire 820 tidak jauh bezanya daripada harga tersebut.


TIPS & ULASAN