Cari @ Amanz

Microsoft boleh dikatakan kini dalam usaha penjenamaan semula penawaran peranti mudah-alih mereka, dan juga sistem operasi mereka secara keseluruhan – sekaligus memudahkan proses pemasaran sistem operasi tersebut kepada pengguna umum.

Terkini, ia dikatakan mereka akan berhenti menggunakan jenama “Windows Phone” dan “Nokia”, dan sebaliknya memfokuskan kepada penggunaan nama “Windows” untuk sistem operasi, dan “Lumia” untuk peranti mudah-alih mereka.

Perkara ini boleh dikatakan telah dilakukan secara berperingkat oleh mereka sejak beberapa bulan yang lepas. Pelbagai peranti baru yang diperkenalkan hanya membawakan nama Lumia sahaja, disamping beberapa iklan baru kini menggunakan nama “Windows” berbanding “Windows Phone”.

Usaha ini juga mungkin ada kaitan dengan beberapa desas-desus sebelum ini mengatakan yang mana Microsoft akan mengabungkan keseluruhan sistem operasi mereka – Windows, Windows RT, dan Windows Phone ke satu jenama sahaja – “Windows”. Ini juga mungkin akan memudahkan proses pemasaran produk Microsoft sekaligus membolehkan pengguna memahami penawaran mereka dengan lebih mudah berbanding masa kini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd