Cari @ Amanz

Salah satu perkara yang mempengaruhi pengguna dalam memilih peranti mereka adalah kebolehan berhubung tanpa wayar. Jika beberapa tahun dahulu peranti tanpa wayar samaada menggunakan protokol hubungan secara Infra-Red, Bluetooth mahupun WiFi merupakan satu peranti yang mahal dan mungkin agak janggal, kini ianya seperti sudah menjadi satu kemestian buat para pengilang untuk menghasilkan peranti yang mesra Bluetooth. Logitech pada tahun lepas selain hadir dengan pelbagai peranti tanpa wayar untuk tetikus dan papan kekunci, turut hadir dengan pembesar suara Logitech Z600 dan baru-baru ini kami berpeluang mengujinya.

[amanz-gallery]

Rekabentuk

Peranti ini hadir dengan dua pembesar suara untuk sebelah kiri dan kanan, pemacu USB-Bluetooth dan kabel audio 3.5mm. Ia hadir dalam bentuk yang boleh dipanggil seakan-akan menara, seperti Altec Lansing ATP 3 ataupun Harman Kardon Soundsticks. Pembesar suara ini menggunakan sambungan secara Bluetooth namun sekiranya komputer anda tidak mempunyai sokongan Bluetooth, anda boleh menggunakan pemacu USB yang disediakannya atau menggunakan wayar yang boleh dicucuk pada belakang pembesar suara sebelah kanan. Kabel audio antara pembesar suara kepada palam kuasa elektrik juga direka supaya nipis dan tidak berbentuk bulat seperti kabel biasa.

Logitech-Z600-IMG_7615

Pada bahagian hadapan kedua-dua belah pembesar suara ini tidak terdapat sebarang kawalan.Kawalan perlu dilakukan pada pembesar suara sebelah kanan. Dibelakang pembesar suara sebelah kanan terdapat dua butang iaitu butang Bluetooth untuk mengaktifkan penyesuaian (pairing) manakala satu lagi merupakan butang kuasa. Terdapat juga dua lubang untuk kabel audio dan juga lubang untuk kabel Micro-USB. Bagi mengawal tahap kekuatan suara pula pengguna hanya perlu menyentuh bahagian atas pembesar suara sebelah kanan yang mempunyai kawalan seakan Touchwheel pada iPod, dan membuat gerakan arah jam untuk menaikkan tahap suara, manakala arah lawan jam akan mengurangkan tahap suara.

Prestasi

Bermula dari segi kawalan, agak janggal untuk melihat satu peranti audio yang tidak mempunyai panel kawalan dihadapan namun ia mungkin perlu dilakukan oleh Logitech bagi membuatkan ianya tampak elegan. Panel kawalan yang diletakkan di belakang mungkin satu perkara yang melecehkan sekiranya anda meletakkan pembesar suara ini di ceruk-ceruk yang sukar dicapai. Kawalan tahap suara pula agak lancar dan responsif. Pengguna juga akan mengetahui sekiranya mereka mencapai had tertinggi tahap suara apabila bunyi beep dibunyikan.

Logitech-Z600-IMG_7612

Melalui ujian ringkas, kualiti bunyi yang dihasilkan oleh peranti ini agak baik. Saya sendiri agak skeptikal dengan pembesar suara tanpa subwoofer namun kualitinya boleh dikatakan agak hampir. Ini mungkin kerana dibawah pembesar suara ini terdapat passive bass radiator yang membolehkan bunyi bass dibunyikan dengan baik. Bunyi yang dihasilkan memang jelas dan tahap maksimumnya agak tinggi. Selain itu ia menyokong Bluetooth sehingga 3 peranti pada suatu masa jadi sekiranya anda menghentikan lagu pada telefon anda, ia akan mengaktifkan sambungan muzik yang masih berjalan seperti pada komputer anda atau tablet anda, dengan syarat anda telah menyesuaikan Bluetooth dengan Z600.

Pada harganya iaitu RM599, saya merasakan ia agak mahal. Ini kerana meskipun ia menggunakan sambungan Bluetooth, ia tidak boleh menjadi peranti pembesar suara buat panggilan telefon anda. Selain dari kebolehan mengawal suara dengan lancar dan prestasi audio yang baik, saya tidak pasti apa lagi rasional harganya.  Boleh dikatakan harganya mungkin kerana rekaannya yang Logitech katakan boleh disesuaikan dengan peranti seperti Apple MacBook. Kemasan jaring pembesar suara ini juga berwarna aluminium. Ia juga hadir pada warna putih sahaja dan mempunyai jaminan selama 2 tahun.

Pro

  • Kualiti bunyi yang agak baik meskipun tanpa subwoofer.
  • Sambungan Bluetooth yang stabil sehingga tiga peranti pada suatu masa.
  • Rekaan yang cantik.

Kontra

  • Mahal.
  • Penutup lubang untuk kabel audio dan Micro-USB yang sukar dibuka. Agak melecehkan.
  • Tiada fungsi pembesar suara untuk panggilan telefon.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd