Carian
Da Gou : Keldai Pintar Versi China Diperlihatkan
September 15, 2014 Effi Saharudin

Di dalam dunia teknologi kita kerap mendengar orang berkata “tunggu sahaja versi China mari” setiap kali sebuah peranti baru diperkenalkan kepada umum. Ini adalah kerana China terkenal dengan kepakaran mereka meniru teknologi terkini dengan pantas dan menghasilkan versi murah mereka sendiri. Sebagai contoh Goophone telah menghasilkan Galaxy Note 4 mereka sebelum peranti tersebut diperlihatkan secara rasmi oleh Samsung. Kepakaran China menghasilkan klon tidak terhad kepada peranti malahan mereka pengeluar utama kasut, baju, ubat-ubatan, barangan berjenama dan Apple Store tiruan di dunia.

Selama berdekad lamanya China juga melakukan pemindahan teknologi untuk menghasilkan sistem senjata mereka. Dengan bantuan teknologi dari Jerman dan Russia mereka berjaya menghasilkan Chengdu J20, pesawat stealth pertama mereka. Mac lalu Amerika Syarikat mengaku teknologi yang digunakan pada pesawat ini dicuri dari program F-35 mereka. Penggunaan pengintip dan penggodam China berjaya mencuri banyak teknologi rahsia Amerika Syarikat. Baru-baru ini sebuah lagi sistem ketenteraan tiruan diperlihatkan. Keldai robotik Boston Dynamics BigDog yang sedang diuji oleh Marin Amerika Syarikat ialah mangsa peniruan terkini. Ianya diberikan nama Da Gou yang bermaksud BigDog dalam bahasa mandarin. Seperti BigDog, Da Gou digunakan di medan perang untuk membawa bebanan sebuah platun tentera. Ia dikatakan mampu membawa kargo seberat 30 kilogram pada kelajuan 6 kilometer sejam. Ini adalah prestasi yang hampir sempadan dengan BigDog.

Mungkin ada di antara pembaca yang mentertawakan China kerana kerap meniru teknologi yang dipelopori negara lain. Tetapi tahukah anda peniruan teknologi ini sudah berlaku sejak ribuan tahun yang kerap kali yang meniru akhirnya menjadi kuasa besar dunia. Contoh terbaik ialah negara Barat meniru teknologi serbuk peluru yang dicipta China pada kurun ke 11. Hasil tiruan kemudian diperhalusi untuk menjadi ciptaan yang lebih baik dan negara barat menjadi kuasa imperialis dunia. Jadi marilah kita menjadi seperti China. Meniru-niru kehulu, berinovasi ketepian, diketawa-tawakan dahulu, menjadi kuasa dunia kemudian.

Da-Gou

Da-Gou-Brochure Sumber PopSci

 

Komen