Cari @ Amanz

Sepuluh tahun yang lalu telefon mudah alih dengan lensa Carl Zeiss ialah telefon yang paling dicari kerana ianya mampu menghasilkan kualiti gambar yang baik. Zaman Carl Zeiss pada peranti mungkin tidak segah dahulu tetapi lensa buatan mereka masih digunakan pada peranti Nokia Lumia. Di dalam dunia fotografi pula kami rasakan Leica ialah nama yang paling gah. Kamera Leica dijual pada harga premium dan menjadi idaman setiap jurufoto di dunia. Sejak dari dahulu kami tidak tahu mengapa Leica tidak bekerjasama dengan pengeluar peranti untuk menggabungkan kepakaran menghasilkan lensa mereka dan teknologi peranti mobil terkini.

Penantian kami hari ini berakhir dengan terhasilnya Panasonic Lumix DMC-CM1. Telefon pintar Android ini menggunakan lensa Leica F 2.8 yang digabungkan dengan sensor sebesar 1 inci 20 Megapixel. Dari segi spesifikasi DMC-CM1 mempunyai skrin HD penuh 4.7″, pemproses 2.3 GHz empat teras Snapdragon 801, 2 Gigabyte RAM dan muatan dalaman sebesar 16 Gigabyte dengan sokongan MikroSD sehingga 128 Gigabyte. Telefon pintar ini mampu mengambil gambar di dalam format RAW dan mengambil video pada resolusi 4K (15 FPS). Kami difahamkan Lumix DMC-CM1 akan mula dijual di Eropah November hadapan pada harga sekitar 900 Euro(RM3760) sebuah.

Peranti ini mengingatkan kami kepada Nokia Pureview 808 yang muncul pada tahun 2012. Sungguhpun mempunyai kemampuan optik yang menakjubkan, Pureview 808 gagal di pasaran kerana menggunakan sistem operasi Symbian. Masih terlalu awal untuk mengagak sama ada Lumix DMC-CM1 akan mendapat sambutan menggalakkan dari pengguna tetapi dari perbualan kami dengan teman-teman penggemar fotografi, inilah telefon pintar yang mereka nantikan.

panasonic_lumix_dmc_cm1

lumix_dmc-cm1_image_5

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd