Salah satu perkara yang kadang-kala melecehkan adalah proses pendaftaran untuk masuk ke sesetengah pejabat. Sesetengah pejabat yang dikawal ketat memerlukan kad pengenalan atau lesen memandu untuk disimpan buat sementara waktu. Perkara ini tambah menyulitkan apabila kad atau lesen tersebut hilang dalam simpanan mereka. Malah sistem buku kehadiran juga boleh dipalsukan dengan sewenang-wenangnya. Envoy yang dilancarkan pada hari ini ingin menyelesaikan segala rencam berkenaan pendaftaran pelawat.
Melalui Envoy, pendaftaran pelawat boleh dilakukan dengan mudah. Pelawat hanya perlu memasukkan maklumat mereka, siapa yang ingin mereka jumpa dan aplikasi tersebut boleh merakam gambar pelawat. Maklumat terebut akan direkodkan dan sekiranya pelawat tersebut datang sekali lagi, maklumat terdahulu yang disimpan akan terus dimasukkan. Sekiranya terdapat sebarang dokumen yang perlu ditandatangani oleh pelawat bagi menjamin rahsia pejabat, ia juga boleh dilakukan melalui aplikasi ini. Aplikasi Envoy juga boleh berhubung dengan pencetak untuk mencetak tag nama pelawat.
Terdapat pelbagai fungsi berbeza disediakan untuk pengguna bergantung kepada pakej yang digunakan dan buat masa ini ia hanya menyokong peranti iPad 2 dan versi seterusnya. Menariknya disebalik syarikat ini terdapat dua pengaturcara dari Malaysia yang tidak asing iaitu Kamal Fariz, salah seorang orang kuat disebalik BarCamp KL 2008 dan Viki, serta Teng Siong Ong, alumni Y Combinator.
Kami harap sistem sebegini akan digunapakai di kebanyakan pejabat tempatan mahupun kondominium kerana isu salah letak kad pengenalan atau lesen memandu oleh penyambut tetamu dan penjaga bangunan bukan satu perkara yang boleh diambil mudah.