Cari @ Amanz

Pada hari ini iOS8 telah tersedia untuk dimuat-turun oleh pengguna-pengguna iPhone 4S, iPhone 5, iPhone 5C, iPhone 5S, iPod Touch generasi kelima, dan semua iPad kecuali iPad generasi pertama. Semestinya kemaskini ini ditunggu ramai pengguna peranti ini malah saya sendiri gembira kemaskini ini masih disediakan untuk iPhone 5. Berikut antara perkara yang telah dikemaskini oleh Apple.

Control Center, Task Manager, Recent / Favorites

control recent favorite

Apple telah mengemaskini rekaan Control Center mereka. Sekiranya dahulu paparan Control Center mempunyai latarbelakang yang separa lutsinar, kali ini latarbelakangnya legap dan boleh dikatakan lebih kemas berbanding yang lama. Apabila menekan butang Home sebanyak dua kali yang akan memaparkan Task Manager, senarai mereka yang kerap dihubungi juga akan dipaparkan diatas tetingkap pelbagai aplikasi yang sedang berjalan. Dengan satu sentuhan pada rakan tersebut, akan memaparkan pilihan untuk menghubungi atau menghantar mesej.


Notification Center, Quick Reply, Call Images

notification-quickreply-callimage

Sekiranya dahulu terdapat 3 tab pada Notification Centre, iaitu Today, Missed, dan All, kali ini ia hanya memaparkan 2 tab iaitu Today dan Notifications. Butang membuang notifikasi yang dahulunya hanya mempunyai simbol pangkah turut diganti dengan ‘Clear’ dan mempunyai latarbelakang legap, berbanding simbol pangkah yang mempunyai latarbelakang lutsinar. Bagi menjawab notifikasi SMS dengan pantas, hanya perlu menekan pada notifikasi tersebut dan ruang membalas SMS akan dikeluarkan, lengkap dengan ramalan jawapan yang menepati konteks. Pada ruang panggilan, sekiranya anda teliti dengan tulisan tersebut, ianya lebih rapat serta ditebalkan berbanding iOS 7.


Ramalan Teks

predictive-autosuggest-predictive

Salah satu perkara yang baru dalam iOS 8 adalah keupayaan papan kekunci yang boleh meramalkan teks yang ingin dimasukkan. Ia juga boleh mengesan situasi dan kandungan mesej tersebut, malahan turut mempunyai kosakata bahasa rojak. Kosakata ini berkemungkinan berdasarkan apa yang kita taip sebelum ini kerana saya kerap menggunakan bahasa dan ejaan yang tidak betul, namun Predictive Text iOS 8 berjaya meramalnya, sama seperti gambar pada fungsi berikutnya.


iMessage – Voice – Masa Mesej

audio-control-date

Pada paparan sebelah kiri tertera perkataan ‘imeses’ iaitu singkatan iMessage yang sentiasa saya gunakan. Boleh dikatakan Predictive Text ini berfungsi secara terus tanpa memerlukan masa untuk mengetahui corak ejaan pengguna. iMessage juga telah diperbaharui dan boleh menghantarkan mesej suara. Salah satu penambahbaikan yang sepatutnya ada dari iOS terdahulu adalah rekod masa untuk setiap mesej dengan cara menyeret mesej tersebut ke sebelah kiri skrin.

Pautan gambar, Share/Send Location, Mute Notification

attaach-whatsapmenu-locationshare

Untuk Messaging, apabila ikon kamera ditekan, ia akan mengeluarkan menu baru yang turut memaparkan gambar-gambar yang baru direkodkan. Namun perkara yang sama tidak dapat digunakan pada komen bergambar Facebook contohnya, jadi menu ini hanya terhad untuk aplikasi permesejan rasmi iOS. Pada ruang Details, pengguna juga boleh berkongsi lokasi mereka dan boleh memilih untuk berkongsi untuk tempoh tertentu. Selain itu sekiranya anda bencikan SMS/iMessage bertalu-talu dari seseorang ataupun kumpulan tersebut, anda boleh mematikan notifikasi dari ruang perbualan tersebut.


Mail

mailboxslide-addcontacts

Sekiranya anda biasa menggunakan Mailbox, sudah tentu anda akan sukakan fungsi ini. Pengguna hanya perlu menyeret dari kanan kesebelah kiri untuk mengakses menu tambahan, menandakan emel tersebut, atau terus menyeret ke penghujung sebelah kiri untuk membuang emel tersebut. Sekiranya pengguna menyeret dari kiri ke kanan pada sesuatu email tersebut, ia akan menukar status email tersebut sama ada telah dibaca atau tidak. Mail juga boleh mengesan sekiranya terdapat maklumat baru didalam sesebuah emel, dan akan memudahkan anda untuk menambah kenalan dalam Contacts.


Thread Notification

Emailnotify

Salah satu lagi fungsi baru dalam Mail adalah notifikasi berasaskan subjek emel. Dengan cara ini pengguna boleh menerima notifikasi berkenaan sesuatu emel yang penting yang juga disertai dengan pelbagai pihak. Fungsi ini penting kerana kadang-kala kita lupa mengenai orang lain dalam perbincangan emel tersebut, dan mengabaikan balasan emel dari orang ketiga.


Battery Usage, Family Sharing

batt-familysharing-setup

Sekiranya peranti iOS anda sentiasa dahagakan kuasa bateri bagai tiada esok hari, fungsi Battery Usage yang hadir pada iOS 8 ini boleh memberitahu anda peranti apakah yang kerap menyedut kuasa bateri anda. Meskipun terdapat aplikasi pihak ketiga yang boleh memberitahu anda aplikasi yang aktif, namun aplikasi tersebut juga secara tidak langsung menggunakan tenaga justeru fungsi Battery Usage terbina ini satu perkara yang sepatutnya ada dari dahulu lagi. Kini, ibu bapa juga boleh berkongsi untuk membeli lagu, E-Book dan juga aplikasi-aplikasi dari App Store.

Camera Timer, Timelapse & Focus Exposure

camera

Satu perkara di iOS terdahulu yang sering menjadi cemuhan dan ejekan adalah ketiadaan kiraan masa untuk menangkap gambar secara automatik. Meskipun masalah ini secara tidak langsung menghasilkan penciptaan Monopod untuk iPhone, ironinya fungsi ini hadir pada iOS 8, yang akan turut hadir pada iPhone 6 dan iPhone 6 Plus, yang tidak boleh diletakkan dengan tegak kerana penghujung tepinya yang melengkung. Satu tambahan format rakaman adalah fungsi Timelapse yang membolehkan pengguna merakam video lengah masa. Fungsi Focus Exposure pula membolehkan pengguna memfokuskan gambar kepada posisi tertentu, dan menaikkan kadar cahaya bergantung kepada titik fokus tersebut.


Favorite, Photo Editor, Crop/Rotation

fav-edit-rotate

Kini pada iOS 8 adalah lebih mudah untuk menandakan gambar kesukaan anda. Aplikasi Photo juga mempunyai kawalan editor yang lebih banyak, dan boleh mengubah nilai cahaya, warna, menjadikannya dalam format hitam putih. Paparan untuk memotong atau memusingkan gambar juga diberi nafas baru, dan menambah kawalan untuk memusingkannya.


Auto Rotation, Medical ID, Shazam – Siri

rotate-medicalID-Shazam

Dalam fungsi memusingkan gambar, terdapat fungsi untuk memusingkan secara automatik dimana iOS 8 akan menganalisis gambar dan mencari garis lurus, lalu memusingkannya supaya selari dengan paksi mendatar atau menegak. Dalam gambar kucing diatas, ia dipusingkan menegak mengikut helaian surat khabar tersebut. Oleh kerana iOS 8 turut menekankan mengenai aplikasi berkenaan kesihatan, didalam aplikasi Health terdapat pilihan untuk anda mengisi maklumat kesihatan anda. Maklumat Medical ID ini akan terpapar sekiranya peranti iOS yang dikunci memasuki mod kecemasan. Maklumat sebegini semestinya akan membantu pasukan medik untuk menyelamatkan anda. Siri juga telah mempunyai fungsi Shazam, yang boleh mengesan lagu kegemaran anda dengan pantas, tanpa perlu melancarkan aplikasi Shazam.


Terdapat juga beberapa perkara lain seperti iCloud Drive yang menawarkan simpanan fail, Handoff dan Continuity yang membolehkan perkara yang dilakukan di iPhone dapat disambung menggunakan MacBook, serta Suggested Apps yang membolehkan pengguna melancarkan aplikasi lain untuk mengendalikan sesuatu fail. Namun kesemua ini tidak dapat dioperasikan buat masa ini kerana OSX Yosemite masih belum tersedia untuk digunakan.

Pada hemat kami, pelbagai fungsi yang ada pada iOS8 ini sepatutnya telahpun dilakukan pada versi terdahulu. Namun penambahbaikan baru seperti Focus Exposure, paparan Task Manager yang diberikan nafas baru secara tidak langsung bakal membuatkan pengalaman penggunaan iOS 8 bertambah. Fungsi paling menarik pada saya adalah Predictive Text yang mampu mengesan bahasa rojak saya walaupun pada kali pertama menggunakannya. Ini kemungkinan agak berbeza dengan aplikasi pihak ketiga seperti Swiftkey yang difahamkan saya perlu mempelajari atau setidaknya merekodkan input dari pengguna sebelum boleh meramalkan text dengan tepat.

iOS 8 boleh dikemaskini secara automatik terus kepada peranti (OTA Over The Air) atau menggunakan iTunes. Seperti biasa anda dinasihatkan untuk membuat backup sebelum mengemaskini peranti iOS anda. Rasanya pemilik iPhone 4S antara pemilik beruntung kerana mendapat kemaskini ini kerana peranti yang mereka beli pada tahun 2011 masih relevan dan menerima sokongan perisian rasmi oleh Apple hingga kini.

Jadi apa pendapat anda dengan kemaskini iOS 8 yang terbaru ini ?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd