Google telah mula memperkenalkan sokongan menjalankan aplikasi Android pada ChromeOS, dan memandangkan ChromeOS dan pelayar web Chrome menggunakan kod sumber lebih kurang sama, kini seorang pembangun bebas hadir dengan solusi untuk menggunakan aplikasi Android pada pelayar web Chrome – tidak kira pada sistem operasi Windows, Mac OS X ataupun Linux.
Melalui kaedah ini, pengguna boleh membuka beberapa aplikasi Android (masih terhad buat masa ini), pada tetingkapnya tersendiri di Chrome – lebih kurang seperti menjalankan aplikasi Chrome di komputer.
Untuk menggunakannya, terlebih dahulu, pengguna perlu memuat-turun App Runtime untuk Chrome (ARC).
- Muat-Turun App Runtime untuk Chrome
Fail ini hadir dalam bentuk ZIP, dan anda perlu membuka arkib berkenaan dan menyimpannya dalam bentuk folder tersendiri. Sebaik sahaja selesai, anda boleh membuka pelayar web Chrome anda, dan ke halaman Settings.
Di sana, pada bahagian Extension, klik pada “Load Unpacked Extension” dan pilih folder berkenaan. Ia kemudian akan membuka ARChon Custom Runtime 1.0 dan menjalankan ia pada bahagian Extension pada pelayar web anda.
Selesai sahaja memasang App Runtime untuk Chrome pada pelayar web anda, seterusnya anda sudah boleh memasang aplikasi Android pada Chrome. Apa pun, senarai aplikasi yang disokong masih terhad buat masa ini, dan memerlukan sedikit perubahan kecil dilakukan sebelum dapat menjalankannya.
Untuk percubaan, pihak pembangunnya sedia menyediakan permainan 2048.
- Muat-Turun 2048 Untuk ARChon
Selepas memuat-turunnya, anda hanya perlu membuka arkib berkenaan pada folder-nya tersendiri, dan mengikuti langkah asal dengan “Load Unpacked Extension”. Sebaik sahaja berjaya, ia akan disenaraikan pada halaman Extension, dan pengguna boleh klik pada “Launch” untuk memulakannya.
Setelah klik pada “Launch”, ia akan membuka tetingkap khas – bersaiz telefon atau tablet (bergantung pada tetapan aplikasi), dan membolehkan anda menggunakannya. Pengguna turut boleh menggunakan sokongan skrin sentuh (sekiranya komputer anda hadir dengan skrin sentuh) untuk mengawal aplikasi ini. Daripada percubaan kami, ia berfungsi dengan lancar tanpa sebarang masalah – namun terdapat beberapa aplikasi yang crash ketika digunakan.
Anda yang ingin menambah koleksi aplikasi, boleh merujuk kepada laman khusus di Reddit yang membincangkan dan berkongsi aplikasi yang dioptimasikan untuk Chrome ini.
- Spreadsheet : Senarai Aplikasi Yang Disokong Buat Masa Ini