Cari @ Amanz

Permainan komputer dari siri The Sims agak popular dan tidak perlulah kami perkenalkan lagi. Justeru itu, tidak hairanlah apabila permainan komputer The Sims 4 diumumkan, ramai yang agak teruja menanti ketibaan permainan komputer ini.

The Sims 4

Namun begitu, sebelum permainan ini keluar di pasaran, peminat dikejutkan dengan pelbagai berita pengurangan elemen-elemen tradisi The Sims seperti tiada lagi peringkat usia ‘Toddler’ (bayi dalam lingkungan 1-3 tahun), kolam renang dan kawasan berkonsepkan bandar terbuka (open hood). Adakah permainan ini masih boleh menghiburkan dengan pelbagai pengurangan ini?

Pengenalan

Permainan The Sims ini secara tradisinya adalah permainan simulasi kehidupan. Anda boleh mencipta satu keluarga dan membimbing keluarga berkenaan ke arah matlamat hidup mereka. Matlamat hidup sims agak terbuka dan tertakluk kepada pemain. Ada pemain yang sukakan hidup mewah, ada yang mahukan Sim mereka membina keluarga yang besar dan bahagia, dan ada juga yang gemar menghuru-harakan suasana dalam permainan mereka. Semua ini terbuka kepada kreativiti pemain.

The Sims 4Anda akan bermula dengan Create-A-Sim, di mana anda boleh mencipta Sim-Sim anda. Dan di dalam The Sims 4, sistem ini telah diipertingkatkan di mana anda boleh mengubah rupa-paras sim dengan lebih efisyen, sepertimana anda membentuk tanah liat. Hanya klik pada bahagian yang ingin dimanipulasikan anda dan tarik/tolak sesuka hati anda. Namun begitu, sistem Create-A-Style yang diperkenalkan dalam The Sims 3 sudah tiada lagi di dalam permainan ini, jadi anda hanya boleh menggunakan corak dan warna yang terhad sahaja.

Kemudian anda perlu memilih satu rumah. Anda boleh membeli rumah yang sedia anda, atau anda boleh memilih lot kosong dan membina rumah anda sendiri. Sistem membina rumah dalam The Sims 4 telah turut sama dikemaskinikan. Kini anda boleh memanipulasikan kedudukan rumah atau bilik tanpa perlu membina semula dari awal.

Apabila semua telah selesai, anda boleh memulakan hidup baru anda dalam dunia Sims ini.

Perbezaan Utama

Sepertimana yang dimaklumkan tadi, permainan ini bukan lagi menggunakan konsep bandar terbuka, tetapi bandar dipisahkan mengikut zon. Setiap zon datang dengan 5 lot yang boleh diubahsuai mengiikut keperluan anda. Setiap kali anda cuba masuk ke lot individu atau zon lain, anda terpaksa melalui ‘loading screen’. Namun begitu ‘loading screen’ ini agak pantas, setiap lot mampu dilawat dalam hanya 2-20 saat sahaja.

Walaupun ‘loading screen’ ini agak leceh, namun perbezaan dari segi prestasi permainan amatlah ketara. Setiap lot atau zon yang dilawati sentiasa mempunyai sims lain melakukan pelbagai aktiviti di belakang tabir, membuatkan bandar anda kelihatan hidup dan menarik. Fenomena ‘lag’ yang kerap berlaku di The Sims 3 juga tidak ada di The Sims 4.

Dari segi Sims itu sendiri, kini mereka mempunyai sistem emosi yang kompleks. Sistem emosi ini mempunyai pengaruh terhadap kehendak dan kelakuan mereka. Contohnya, Sim yang penuh dengan keyakinan atau fokus mampu melakukan kerja dengan lebih baik, manakala Sim yang sedang marah atau sedih boleh menganggu sim-sim lain di sekeliling dengan kelakuan mereka.

Sim juga kini boleh mengendalikan pelbagai benda pada satu masa. Penulis suka menghantar Sim-nya ke gimnasium di mana mereka boleh bersenam sambil menonton televisyen dan bersosial bersama rakan senam pada masa yang sama. Kadang-kala sistem itu menunjukkan hasil yang melucukan. Ada Sim penulis suka menggunakan tablet ketika sedang kencing di tandas dan ada Sim yang makan sambil menggosok gigi untuk menjimatkan masa.

Selain daripada itu, elemen baru yang dipanggil “Gallery” diperkenalkan dan ianya membolehkan anda berkongsi sim , rumah dan keluarga dengan mudah tanpa keluar daripada permainan. Penulis merasakan elemen ini agak menarik, dan mudah untuk pemain yang malas untuk membina sendiri watak-watak mereka. Adalah lebih mudah untuk mencari dan memuat turun Sim mirip pelakon Emma Watson daripada membina sendiri, kan?

The Sims 4

Kesimpulan

Jawapannya YA! Penulis merupakan seorang pemain veteran The Sims dari yang asal, ke seluruh siri The Sims 2 dan The Sims 3, dan penulis masih merasakan The Sims 4 merupakan satu permainan asas (base game) yang kukuh dan sesuai untuk semua peminat siri The Sims ini. Penulis lebih menyukai grafik yang ala-ala kartun Disney yang diketengahkan oleh The Sims 4 daripada rupa ala-ala realistik The Sims 3. Selain itu, permainan ini berjalan dengan lebih baik daripada The Sims 3 di kompter penulis, menunjukkan permainan kali ini lebih stabil dan dioptimasi dengan lebih baik.

Ya, terlalu banyak pengurangan yang telah dilakukan oleh EA buat masa ini namun penulis merasakan banyak elemen yang dikurangkan akan kembali semula dalam bentuk patch percuma (sepertimana The Sims 3) atau melalui pek tambahan (expansion pack).

Markah The Sims 4

  • Info
  • Ulasan ini ditulis oleh Riez untuk Amanz. Anda boleh mencari sim-sim yang dibina oleh penulis dengan mencari “riezforester” di dalam “Galery”. Anda juga boleh mengikuti perkembangan sims penulis di laman khusus Tumblr beliau.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd