Dalam pelbagai syarikat pengeluar telefon dari China yang memasuki pasaran Malaysia, salah satunya adalah Vivo. Mereka telah memperkenalkan beberapa peranti dibawah keluarga Vivo untuk pasaran tempatan, dan kini dilihat bakal memperkenalkan Vivo Xplay 3S di Malaysia tidak lama lagi.
Vivo Xplay 3S merupakan telefon pintar pertama Android dengan sokongan skrin 2K (ketika pengenalannya pada bulan Disember 2013 lepas). Selain daripada itu, telefon pintar bersaiz 6-inci ini juga turut dilengkapi dengan sokongan audio berkualiti tinggi, selain antaramuka Android-nya yang tersendiri.
Dari segi spesifikasi lain, ia turut dilengkapi dengan cip pemprosesan Snapdragon 800, memori sebanyak 3GB RAM, dan hadir dengan sokongan rangkaian LTE. Ia dilengkapi dengan kamera belakang 13-megapixel, dan kamera hadapan 5-megapixel.
Harga jualannya tidak diketahui buat masa ini. Pihak Vivo Malaysia telah mula mempromosikan peranti ini di laman Facebook mereka, dan dijangka akan dipasarkan sekitar bulan Oktober ini.