Cari @ Amanz

Sony nampaknya benar-benar bergerak pantas dengan pengenalan Xperia Z3. Setelah diperkenalkan pada awal bulan September ini, kini peranti tersebut akan mula dijual di pasaran Malaysia bermula hari Jumaat ini – 26 September 2014.

Sony Xperia Z3

Dua peranti terbaru mereka akan ditawarkan di pasaran Malaysia bermula Jumaat ini, iaitu Xperia Z3 dan juga Xperia Z3 Compact.

Xperia Z3 akan ditawarkan pada harga RM2399, dimana ia hadir dengan skrin bersaiz 5.2-inci, cip pemprosesan Snapdragon 801 2.5Ghz, memori 3GB RAM, ruangan storan 16GB, kamera hadapan 2.2-megapixel dan kamera belakang 20.7-megapixel.

Xperia Z3 Compact

Versi mininya pula – Xperia Z3 Compact, dengan spesifikasi lebih kurang sama dan skrin bersaiz 4.6-inci pula akan ditawarkan pada harga RM1899 di Malaysia. Pihak Sony Malaysia juga telah mengemaskini harga jualan Xperia Z1 Compact – dimana kini ia membawakan tanda harga RM1499.

Kedua-dua peranti ini – Xperia Z3 dan Xperia Z3 Compact turut hadir dengan masa bertahan bateri sehingga 2 hari lamanya, sokongan Remote Play untuk PlayStation 4, dan turut hadir dengan beberapa kandungan tambahan daripada pihak Sony – seperti penawaran baucar percuma untuk MyTeksi dan juga ruangan storan Dropbox percuma sehingga 50GB. Kedua-duanya turut dilengkapi dengan sokongan rangkaian LTE padanya.

Selain kedua-dua peranti ini, Sony juga dijangka akan membawa masuk tablet versi kompak mereka ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd