Cari @ Amanz

BlackBerry hari ini secara rasminya telah memperkenalkan salah satu telefon pintar terbaru mereka secara rasminya, iaitu BlackBerry Passport. Peranti ini membawakan rekaan yang sedikit berbeza – lebih kurang menyerupai seperti LG Vu sebelum ini.

BlackBerry Passport membawakan gabungan rekaan papan kekunci fizikal dan juga skrin sentuh. Untuk saiz skrin, pihak BlackBerry menekankan yang mana ia memaparkan lebih banyak kandungan, sekaligus memudahkan pengguna mengakses dokumen sepertimana mereka mengaksesnya pada komputer riba – sekaligus menggunakan BlackBerry Passport sebagai komputer ketika berada diluar pejabat.

BlackBerry Passport

Menjadi fokus utama pada peranti ini adalah sokongan papan kekuncinya. Papan kekunci BlackBerry Passport hadir dengan sokongan sentuhan – dimana pengguna boleh menaip menggunakan butang fizikal, dan pada masa yang sama turut swipe diatasnya untuk memadam perkataan, memilih perkataan ramalan dan sebagainya – sama seperti papan kekunci maya di BB 10.

Dari segi spesifikasi, ia membawakan skrin berbentuk segi empat-sama bersaiz 4.5-inci dengan paparan resolusi 1440×1440, dilengkapi dengan cip pemprosesan Snapdragon 2.2Ghz, memori 3GB RAM, ruangan storan terbina 32GB dengan sokongan mikro-SD, kamera belakang 13-megapixel dengan sokongan OIS, dan bateri terbina 3450mAh.

Peranti ini dikatakan mampu bertahan sehingga 30 jam pada penggunaan aktif, disamping turut dilengkapi dengan sokongan kualiti bunyi yang baik dan lebih kuat berbanding kebanyakkan peranti di pasaran hari ini. Kamera dengan sokongan OIS juga turut menjadi fokus pada peranti ini – membolehkan pengguna merakamkan gambar yang jelas pada pelbagai keadaan cahaya.

Melengkapkan peranti ini adalah sistem operasi terbaru daripada BlackBerry, iaitu BlackBerry 10 OS 10.3. Ia menyertakan pelbagai pembaharuan, termasuk sokongan BlackBerry Assistant – pembantu maya digital anda (seumpama Cortana), dan turut hadir dengan Amazon Appstore terbina. Amazon Appstore terbina membuatkan ia sebagai kedai aplikasi kedua, selain Blackberry World, sekaligus membolehkan pengguna memasang pelbagai aplikasi Android dari Amazon Appstore dengan mudah.

Di Malaysia, BlackBerry Passport akan dilancarkan esok – 25 September, dan kita akan dapat ketahui mengenai harga dan tarikh jualan tempatannya esok. Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut mengenainya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd