BlackBerry Malaysia telah pun memperkenalkan BlackBerry Passport secara rasminya untuk pasaran Malaysia semalam, sekaligus menjadikan Malaysia antara negara terawal untuk menerima peranti berkenaan.
BlackBerry Passport merupakan telefon pintar berspesifikasi tinggi daripada pihak BlackBerry, dan menjadi fokus utama pada peranti berkenaan adalah rekabentuknya yang boleh dikatakan sedikit pelik dan berbeza dengan kebanyakkan telefon pintar lain di pasaran.
BlackBerry Passport | |
---|---|
Pemproses | 2.2GHz Snapdragon 801 |
RAM | 3GB |
Muatan Dalaman | 32GB + MikroSD |
Kamera Utama | 13MP dengan OIS |
Kamera Depan | 2MP |
Skrin | 4.5″ – 1440×1440 pixel |
Bateri | 3450mAh – sehingga 30 jam |
Dari segi rekabentuk, ia membawakan skrin sentuh berbentuk segi empat-sama, dan dilengkapi dengan papan kekunci fizikal pada bahagian bawah. Papan kekunci fizikal ini hadir dengan sokongan input berasaskan sentuhan – dimana pengguna boleh turut menggunakannya untuk membuat beberapa gesture – seperti swipe ke kiri untuk memadam sesuatu perkataan, atau swipe ke atas untuk memilih sesuatu perkataan yang dicadangkan ketika sedang menaip.
Perkara ini sekaligus memberikan pengalaman menaip menggunakannya yang berbeza sedikit jikalau dibandingkan dengan telefon pintar seperti BlackBerry Q10 atau BlackBerry Q5.
Papan kekunci ini juga turut dioptimasikan untuk digunakan bagi tujuan menatal apabila pengguna melayari web. Ia sekaligus membolehkan anda memfokuskan kepada pembacaan kandungan pada web ketika memegangnya secara menegak atau melintang.
Namun begitu, bercakap mengenai mengikuti kandungan, ia lebih dioptimasikan untuk dokumen berbentuk teks, pelayaran web, dan juga pembacaan emel. Sekiranya anda ingin menonton video menggunakannya, ia akan memaparkan bar berwarna hitam yang agak tebal pada bahagian atas dan bawah – memandangkan kebanyakkan video hadir dengan nisbah saiz skrin yang berbeza dan bukannya segi empat-sama.
Kami tidak berpeluang mencuba untuk memainkan aplikasi berbentuk permainan dan sebagainya pada skrin BlackBerry Passport – maka kurang pasti mengenai bagaimanakah ia akan kelihatan kelak.
Apa pun, memandangkan ia lebih dioptimasikan untuk penggunaan perusahaan, maka fungsi untuk mengikuti aplikasi permainan dan juga video mungkin tidak begitu menjadi fokus utama para pengguna.
Dari segi perisian pula, pihak BlackBerry menggunakan BlackBerry 10.3 pada BlackBerry Passport ini. Ia membawakan nafas baru untuk sistem operasi BlackBerry – dimana ia menerima beberapa perubahan dari segi visual dan antaramuka perisiannya. Ikon kini tidak lagi memaparkan bahagian latar berwarna hitam seperti pada versi sebelumnya, disamping pada masa yang sama membawakan rekaan ikon yang lebih berwarna mendatar – salah satu fokus utama kebanyakkan pengeluar perisian pada tahun ini.
Pihak BlackBerry turut memperkenalkan sedikit kemaskini pada bahagian BlackBerry Hub melalui BlackBerry 10.3 ini. Ia kini memaparkan akses yang lebih pantas untuk mula menghantar teks, disamping turut hadir dengan Instant Access untuk anda memadam sesuatu mesej, atau memaparkan mesej dalam bentuk popup untuk membolehkan anda membalasnya ketika berada dalam tetingkap aplikasi lain.
BlackBerry Assistant turut hadir pada kemaskini ini yang berfungsi lebih kurang seperti pembantu maya peribadi pengguna. Ia hadir membolehkan anda membuat beberapa input menggunakan suara, disamping pengguna turut boleh menaip untuk membuat sesuatu carian. Enjin carian utamanya adalah Bing, disamping ia turut menarik data daripada pelbagai sumber termasuk Wolfram Alpha. BlackBerry Assistant juga turut boleh digunakan untuk membuat carian setempat untuk kandungan dalam peranti anda – meliputi emel, mesej, gambar, dokumen dan sebagainya.
Bahagian kamera turut hadir dengan sedikit kemaskini, dan BlackBerry Passport ini hadir dengan kamera 13-megapixel dengan sokongan OIS – sekaligus membolehkan anda merakamkan gambar dengan jelas walaupun ketika dalam keadaan bergerak dan sebagainya. Apa pun, mod utamanya adalah rakaman dalam bentuk saiz 1:1, menjadikan gambar rakaman hadir dalam bentuk segi empat-sama. Seperti biasa, mod rakaman ini boleh diubah pada bahagian tetapan.
Secara keseluruhan, boleh dikatakan peranti ini mengekalkan pelbagai kelebihan daripada pihak BlackBerry dan pada masa yang sama memfokuskan kepada pengguna yang mencintai input berasaskan papan kekunci fizikal.
Walaupun saiznya agak janggal pada permulaan, tetapi selepas memainkannya untuk seketika, kami dapat menyesuaikan diri untuk menggunakannya dengan pantas. Apa pun, terdapat beberapa kandungan web yang masih tidak dioptimasikan untuk saiz skrin tersebut dan hadir dalam bentuk yang agak pelik ketika menggunakannya.
Pada masa yang sama, kami juga menyukai sokongan menatal pada papan kekunci fizikal ketika membaca. Namun, ia hanya terhad kepada pelayaran web sahaja buat masa ini – dan mungkin pihak BlackBerry perlu membawanya kepada beberapa aplikasi lain – terutamanya aplikasi berbentuk pembacaan seperti buku digital dan sebagainya.
BlackBerry Passport ditawarkan pada harga RM2399 – suatu harga yang agak tinggi bagi kami. Mungkin sekiranya ia dibawah harga RM2,000 maka ia mungkin akan menjadikan peranti ini untuk lebih menarik untuk dimiliki.
Di Malaysia, BlackBerry Passport akan dijual bermula bulan Oktober ini dengan eksklusif untuk Celcom, dan ditawarkan melalui para pengedar rasmi BlackBerry bermula 1 November kelak.
[amanz-gallery]