Cari @ Amanz

Terdapat beberapa tablet berasaskan Android di pasaran hari ini, dan diumumkan dan dilancarkan untuk pasaran Malaysia hari ini adalah sebuah tablet baru daripada pihak Honor, iaitu Honor Tablet.

Honor merupakan salah satu jenama dibawah syarikat Huawei, dan ia memfokuskan kepada jualan terus melalui laman edagang mereka – VMall. Perkara ini sekaligus membolehkan mereka menawarkan peranti pada harga agak rendah berbanding beberapa yang lain.

Honor Tablet

Honor Tablet
Pemproses 1.2GHz Snapdragon 200
RAM 1GB
Muatan Dalaman 16GB + MikroSD
Kamera Utama 5-megapixel
Kamera Depan 0.3MP
Skrin 8.0″ – 1280×800 pixel
Bateri 4800mAh

Honor Tablet ini membawakan rekaan yang menyerupai beberapa tablet Huawei lain – dimana ia membawakan rekaan unibody berasaskan kepada logam. Ia tidak begitu ringan jikalau dibandingkan dengan beberapa tablet lain di pasaran, namun masih selesa untuk digunakan pada sebelah tangan – terutamanya sekiranya anda ingin gunakan untuk membaca buku digital dan melayari web menggunakannya. Tiada sebarang logo akan disertakan pada hadapan peranti, dan jenama “Honor” akan dipaparkan pada bahagian tengah kerangka belakang.

Tablet ini juga turut hadir dengan sokongan telefoni, membolehkan pengguna menggunakan tablet ini untuk membuat panggilan menggunakan rangkaian telefon. Namun, boleh dikatakan ia akan menjadi agak janggal untuk meletakkan peranti bersaiz sehingga 8-inci pada muka ketika membuat panggilan telefon.

Dari segi spesifikasi, skrin bersaiz 8-inci ini membawakan paparan resolusi 1280×800 pixel, menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 200 1.2Ghz, memori 1GB RAM, kamera belakang 5-megapixel, kamera hadapan 0.3-megapixel, dan bateri berkapasiti 4800mAh. Ia menggunakan Android 4.3 Jelly Bean, dan dilengkapi dengan antaramuka Emotion UI 1.6. Platform yang digunakan boleh dikatakan versi yang lama berbanding pada peranti Ascend P7 dan Honor 6 yang menggunakan Emotion UI 2.3. Malah, pihak Huawei sendiri telah memperkenalkan EmotionUI 3.0 baru-baru ini. Ia tidak diketahui sama ada kemaskini EmotionUI baru akan diperkenalkan pada Honor Tablet ataupun sebaliknya.

Honor Tablet

Dari segi fungsi, secara kasarnya, ia membawakan fungsi yang lebih kurang sama dengan pelbagai tablet Huawei sebelum ini. Honor Tablet ini turut menyertakan sokongan memainkan video HD, dan pengguna turut boleh menikmatinya dalam bentuk pop-up untuk tujuan multi-tasking ketika menggunakannya.

Huawei Honor Tablet

Disamping itu, untuk pasaran Malaysia, Honor Tablet menyertakan aplikasi web Tonton secara terbina. Namun, ia beroperasi menggunakan pelayar web – dimana apabila pengguna tap untuk membukanya, ia akan membuka pelayar web dan membawa pengguna terus ke laman Tonton. Sejumlah permainan daripada pihak Gameloft turut disertakan bersama pada tablet ini.

Honor Tablet

Tablet ini akan mula dijual di Malaysia pada bulan Oktober kelak, dan pihak Honor akan mengambil pra-tempahan untuk Honor Tablet ini bermula daripada 29 September ini. Harga jualan tablet ini di Malaysia adalah RM599.

[amanz-gallery]

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd