Perbandingan Antara Huawei Ascend P7 Dan Honor 6

Perbandingan Antara Huawei Ascend P7 Dan Honor 6

Diterbitkan pada Sep 28, 2014 oleh .

Huawei Ascend P7 telah dijual sejak beberapa bulan yang lepas di Malaysia, dan terkini sebuah lagi peranti baru hadir daripada mereka, iaitu Honor 6. Honor 6 akan dijual pada harga RM999, dimana lebih murah berbanding Huawei Ascend P7 yang dijual pada harga RM1499. Namun, terdapat beberapa persamaan dan perbezaan antara kedua-dua peranti ini.

Spesifikasi

Honor 6 dan Ascend P7

Penanda Aras
Ascend P7 Honor 6
Antutu 25078 43073
Quadrant 7236 11286
Futuremark 7461 13656

Kedua-duanya mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama, tetapi Honor 6 membawakan sedikit kemaskini berbanding dengan Ascend P7.

Honor 6 menggunakan cip pemprosesan HiSilicon Kirin 920 dan juga memori sebanyak 3GB RAM. Perkara ini sekaligus membolehkan ia beroperasi dengan lebih efisyen dan berkuasa tinggi – serta menjadikan pengalaman penggunaan multi-tasking tanpa sebarang masalah ketika menggunakannya.

Jikalau dibandingkan dalam pelbagai ujian penanda-aras juga, Honor 6 melebihi dan memenangi Huawei Ascend P7 tanpa sebarang masalah.

Paparan Resolusi Skrin

Honor 6 dan Ascend P7

Walaupun pada laman rasmi VMall ditulis paparan resolusi untuk Honor 6 adalah 1080p, namun daripada set percubaan kami, ia hanya dilihat membawakan paparan resolusi pada 720×1280 pixel, berbanding dengan Ascend P7 yang membawakan paparan resolusi pada 1080×1920 pixel.

Walaupun terdapat perbezaan pada kedua-dua paparan resolusi, ia boleh dikatakan sedikit sukar untuk dikenal-pasti, dan kedua-duanya membawakan paparan yang amat jelas dan tidak begitu merakamkan kesan cap jari. (Boleh diubah pada tetapan)

Sokongan NFC

Pada Huawei Ascend P7, sokongan NFC hadir secara terbina, sementara untuk Honor 6 tiada sokongan NFC. Perkara ini membuatkan ia agak sukar untuk anda membuat pemindahan gambar dan video menggunakan sokongan Beam, dan perlu bergantung kepada fungsi Bluetooth secara manual. Namun, memandangkan ramai yang tidak begitu menggunakan sokongan NFC, maka ia mungkin tidak memberikan kesan yang besar dikalangan pengguna.

Kamera Dengan Flash

Honor 6 dan Ascend P7

Honor 6 dan juga Huawei Ascend P7 membawakan kamera dengan sensor 13-megapixel pada bahagian belakang. Namun, membezakannya adalah dimana pada Honor 6 ia membawakan sokongan dwi-LED Flash, sementara hanya satu pada Huawei Ascend P7. Dari segi sokongan perisian, Honor 6 membawakan sokongan rakaman video dalam bentuk HDR, sementara pada Ascend P7 tiada. Dan pada rakaman gambar pula, Ascend P7 membolehkan rakaman gambar pada pelbagai jenis resolusi, sementara pada Honor 6 hanya pada rakaman 13-megapixel, 10-megapixel, 8-megapixel dan 6-megapixel.

Honor 6 dan Ascend P7

Untuk kamera hadapan, Honor 6 dilengkapi dengan kamera 5-megapixel untuk sokongan rakaman selfie, sementara 8-megapixel pada Ascend P7.

Perisian

Honor 6 dan Ascend P7

Kedua-duanya dilengkapi dengan Android 4.4.2 dan antaramuka Emotion UI 2.3. Maka ia sepatutnya membawakan sokongan fungsi yang sama antara kedua-duanya. Beberapa perkara perbezaan yang kami kenal pasti adalah dimana pengguna ditawarkan dengan lebih banyak tema, ikon, dan gambar latar pada Ascend P7 berbanding dengan Honor 6.

Disamping itu, pada talam notifikasi, paparan menu untuk akses pantas seperti tidak boleh diselaraskan pada Honor 6, berbanding dengan pada Ascend P7.

Rekaan Dan Binaan Telefon

Honor 6 dan Ascend P7

Pada Ascend P7, ia menggunakan bingkai berasaskan kepada logam, sementara untuk Honor 6 pula, ia hanya menggunakan rekaan bingkai plastik dengan kemasan seumpama logam. Perkara ini membawa kepada beberapa perubahan dan cara penggunaan, dimana sebagai contoh, untuk membuka ruangan kad-SD dan SIM pada Ascend P7, pengguna perlu menggunakan sebuah pin khusus, sebaliknya pada Honor 6 ia boleh dibuka dengan mudah.


Honor 6 dan Ascend P7

Secara kasarnya, pelbagai fungsi lain boleh dikatakan agak serupa antara kedua-dua peranti ini. Dari segi kemaskini, pihak Huawei agak perlahan sedikit memperkenalkannya kepada pengguna sedia ada berbanding dengan beberapa pengeluar lain. Namun, terdapat sokongan komuniti untuk Ascend P7, sementara memandangkan Honor 6 masih baru, maka tiada sokongan dari komuniti untuknya buat masa ini.

Apa pun, pada harga RM999, boleh dikatakan Honor 6 agak menarik jikalau dibandingkan dengan Ascend P7 – apatah lagi dengan penawaran tukar satu ke satu sekiranya peranti anda menghadapi masalah dalam tempoh enam bulan pertama.


TIPS & ULASAN