Cari @ Amanz

TM P1Telekom Malaysia (TM) telah mengumumkan pelaburan ke dalam syarikat perkhidmatan jalur-lebar tanpa wayar berasaskan WiMAX, iaitu Packet-One (P1) pada awal tahun ini, dan kini dilihat TM telah mendapat pengesahan dan kelulusan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa dan juga pemegang saham syarikat tersebut sebelum ini.

Dengan pengesahan ini, ia sekaligus menjadikan TM sebagai syarikat induk P1 yang baru dengan pegangan saham sebanyak 55.3%. Selain TM, antara pemegang saham lain dalam P1 adalah Green Packet sebanyak 31.1% dan SK Telecom sebanyak 13.6%.

Pelaburan dan pengambil-alihan ini juga terus memperkukuhkan portfolio pihak Telekom Malaysia dalam penawaran jalur-lebar tanpa-wayar. Sebelum ini, TM telah memperkenalkan perkhidmatan TMgo, dan dengan adanya P1, mereka sekaligus akan terus memperluaskan dan memperkukuhkan kedudukan mereka dalam arena jalur-lebar negara.

Telekom Malaysia juga turut mengatakan yang mana kelak P1 akan beralih kepada penawaran LTE – dan dipadankan dengan pengetahuan teknologi milik SK Telecom.

Pengesahan daripada pihak berkuasa ini sekaligus membolehkan Telekom Malaysia dan rakan kerjasama lain bergerak setapak kehadapan dengan merangka pelan dan strategi baru dalam terus memperkukuhkan jenama P1 di Malaysia. TM dijangka akan mengumumkan ahli lembaga pengarah dan pengurusan P1 yang baru tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd