Cari @ Amanz

Telekom Malaysia sebelum ini telah memperkenalkan perkhidmatan dan aplikasi permesejan tersendiri daripada mereka dinamakan sebagai HyppMe. Ketika pengenalan, ia terhad untuk membolehkan pengguna menghantar mesej kepada individu sahaja, dan kini melalui kemaskini yang diperkenalkan, ia membawakan sokongan sembang berkumpulan ke aplikasi tersebut.

Melalui fungsi sembang berkumpulan ini, ia dilihat membolehkan pengguna menambah sehingga 50 rakan pada sesuatu kumpulan – dan sembang antara satu-sama lain, disamping berkongsi gambar, audio, dan sebagainya menggunakannya.

Apa pun, daripada percubaan kami, ia dilihat gagal berfungsi sepenuhnya. Proses membuat kumpulan boleh dikatakan menyerupai beberapa aplikasi lain, namun ketika cuba menambah rakan baru kedalam kumpulan yang dibuat, ia dilihat tidak memaparkan senarai kenalan di buku alamat.

HyppMe Group Chat

Perkara ini mungkin adalah sebuah pepijat pada aplikasi berkenaan, dan mungkin kita perlu nantikan kemaskini kecil diperkenalkan sebelum fungsi ini boleh digunakan sepenuhnya.

Selain daripada fungsi ini, satu lagi perkara yang mungkin pihak Telekom Malaysia turut memberikan perhatian adalah pada antaramuka aplikasi ini – yang mana boleh dikatakan menggunakan elemen rekaan lama jikalau dibandingkan dengan pelbagai aplikasi permesejan yang lain di pasaran.

Bagi anda yang menggunakan HyppMe, anda mungkin akan menerima notifikasi untuk kemaskini, dan mula menggunakan beberapa perkara lain yang turut disertakan – termasuk lebih banyak emoji baru berbanding versi sebelumnya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd