Cari @ Amanz

Kali pertama kami menguji peranti Xperia Z ialah pada Mac 2013 dan pada kadar segera kami jatuh cinta dengan konsep peranti pintar yang bukan sahaja kalis air tetapi juga kalis debu. Dalam masa 18 bulan pelbagai peranti Xperia Z dihasilkan oleh Sony. Setiap satunya memperbaiki kelemahan yang ada pada versi sebelumnya dan memperhalusi teknologi kalis air pada peranti. Dengan Xperia Z3, Sony semakin hampir menemui formula menghasilkan peranti Android paling sempurna yang pernah kami gunakan.

Rekaan

Sony Xperia Z3
Pemproses 2.5 GHZ Empat Teras Snapdragon 801
RAM 3 GB
Muatan Dalaman 16/32 GB Sokong kad MikroSD sehingga 128 GB
Kamera Utama 20.7 MP dengan flash
Kamera Depan 2.2 MP
Skrin 5.2″ IPS LCD 1080P 424 PPI
Bateri 3100 mAh
SIM Nano
Harga RM 2399

Sejak Xperia Z mempopularkan trend peranti Android kalis air beberapa pengeluar lain mula mengikuti langkah Sony. Samsung dengan Galaxy S5 dan HTC dengan Butterfly J. Kedua-dua peranti ini cuba mengambil alih tempat Z2 yang kami rasakan adalah peranti Android kali air di pasaran.

Tiada perubahan besar dilakukan dari segi spesifikasi pada Z3 berbanding Z2. Pemproses dinaikkan dari 2.3 GHz ke 2.5 GHZ. Sony masih menggunakan pemproses dari keluarga Snapdragon 801 dan bukannya 805.  Saiz sensor kamera dan RAM juga sama. Perbezaan paling ketara hanya berlaku dari segi rekabentuk.

Dengan Z3 Sony memperbaiki rekaan Z2. Bahagian sisi peranti kini diperbuat daripada logam  manakala bucunya diperbuat daripada bahan nilon yang menyerap hentakan apabila peranti terjatuh. Panel besi ini juga melengkung dan ini membuatkan peranti lebih selesa digenggam. Pada Z2 bahagian sisi diperbuat daripada bahan plastik yang agak bersegi. Ini membuatkannya telapak tangan tidak berapa selesa. Kemasan logam Z3 juga membuatkan peranti kelihatan lebih premium berbanding Z2.  Panel penutup slot SIM, kad MikroSD dan MikroUSB pula kini diperbuat daripada bahan bergetah. Pada bahagian hadapan kedudukan pembesar suara stereo diubah masuk kedalam dan saiznya dikecilkan. Lampu notifikasi besar yang diletakkan di belakang gril pembesar suara atas Z2 kini sudah tiada. Sebaliknya lampu notifikasi kecil berbentuk bulat diletakkan pada bahagian atas sebelah kiri peranto.

Apa yang kami akan katakan mungkin kedengaran seperti hiperbola, tetapi menyentuh Z3 terasa seperti menyentuh kain sutera metalikRekaan Omnibalance dikekalkan dengan butang kuasa, suara dan pengatup kamera kesemuanya diletakkan pada bahagian kanan peranti. Seperti Z1 dan Z2 rekaan serta kedudukan butang ini adalah ergonomik. Pada sisi yang sama terletak slot SIM dan kad MikroSD. Pada bahagian kiri pula terdapat slot USB dan penyambung dok pengecas magnetik. Rekaan dock ini kami lihat masih sama dengan digunakan pada model Z Ultra ke atas. Jadi anda tidak perlu membeli dock pengecas magnetik baru untuk mengecas peranti ini tanpa perlu membuka panel penutup USB.

Pada panel belakang terdapat kamera sebesar 20.7 Megapixel. Seperti kami katakan di awal tadi, Ianya kamera yang sama yang digunakan pada Z2. Ada yang merungut Sony tidak menaikkan saiz sensor kamera Z3. Tetapi dengan pesaing masih lagi menggunakan sensor yang lebih kecil dari 20.1 Megapixel kami mengagak Sony tidak merasakan sensor yang lebih besar adalah perlu. Pada panel belakang yang sama terdapat logo NFC bagi menunjukkan di mana anda perlu menyentuh untuk melakukan fungsi NFC. Kami rasakan pengeluar lain harus mencontohi Sony dengan meletakkan logo NFC di belakang peranti buatan mereka. Lokasi pengesan NFC kami sedari berbeza-beza mengikut peranti. Dengan adanya logo NFC pada bahagian belakang pemindahan fail menggunakan Android Beam semestinya lebih mesra pengguna. Akhir sekali bateri sebesar 3100 mAh melengkapi spesifkasi Xperia Z3.

Pada separuh tahun pertama kami rasakan HTC One M8 dan Xperia Z2 ialah dua peranti kelas tertinggi Android yang boleh anda miliki. Untuk separuh tahun kedua 2014 Xperia Z3 dengan mudah kami pilih sebagai peranti kelas tinggi Android yang boleh anda miliki. Samsung Galaxy Alpha yang kini juga sudah dijual menjanjikan rekaan premium dengan bahan buatan logam. Apabila diletakkan bersebelahan Z3, Alpha langsung tidak dapat menandingi kualiti rekaan dan binaannya. Apa yang kami akan katakan mungkin kedengaran seperti hiperbola, tetapi menyentuh Z3 terasa seperti menyentuh kain sutera metalik. Ianya sangat selesa dipegang di dalam tangan dan kelihatan jauh lebih premium dari peranti Android lain di pasaran sekarang.

[amanz-gallery]

 


Xperia UI

Kini anda boleh merekod skrin peranti anda di dalam bentuk video. Fungsi reocrd screen ini diakses dengan menekan butang kuasa untuk beberapa saatAntaramuka Xperia bukanlah UI yang paling cantik untuk dipandang. Ini adalah pandangan dari teman-teman dan sanak saudara kami apabila kami menyanyakan pendapat mereka. Ketua penulis Amanz, Aman Firdaus sendiri kami sedari mengubah rupa antaramuka Z2 beliau kerana tidak mempunyai pilihan kustomasi yang tinggi. Secara peribadi kami tidak mempunyai masalah dengan Xperia UI. Ianya mudah dan tidak memberatkan peranti.  Jika dibandingkan dengan Touchwiz, harus diakui  Samsung memberikan lebih banyak fungsi tambahan berbanding Xperia UI dan Android Stock.

Sungguhpun begitu ada beberapa fungsi baru yang disertakan pada Z3. Kini anda boleh merekod skrin peranti anda di dalam bentuk video. Fungsi ini diakses dengan menekan butang kuasa untuk beberapa saat. Skrin dengan pilihan record screen akan muncul dan anda boleh merekod skrin anda dengan mudah. Kepada pengulas aplikasi ini adalah fungsi yang sangat menarik. Tidak perlu lagi menyambung aplikasi kepada komputer untuk merekod paparan skrin dan menggunakan program tambahan. Kepada pengguna biasa ianya mungkin tidak akan digunakan selalu. Xperia Z3 juga adalah beberapa peranti yang setakat ini menyokong fungsi paparan secara terus Google Chromecast. Sebagai pemilik Chromecast kami memang menggemari fungsi ini kerana kini televisyen di ruang tamu kami memaparkan aplikasi permainan yang kami gemari secara terus.Dead Trigger, Modern Combat, Asphalt 8 dan Zombie Roadkill adalah lebih mengujakan apabila dimainkan pada skrin TV 46″.

Terdapat juga profil khas fon telinga apabila jack audio digunakan. Terdapat beberapa pra-tetapan audio untuk beberapa jenis fon telinga keluaran Sony. Jika anda mempunyai fon telinga Sony pra-tetapan ini mengoptimumkan tahap audio anda. Z3 juga merupakan keluarga Xperia pertama yang membawa sokongan remote play untuk PlayStation 4. Z3 Compact dan Z3 Compact Tablet juga mempunyai kemampuan yang sama. Jika anda memang pengguna tegar barangan keluaran Sony, Z3 berfungsi dengan baik dengan televisyen, kamera dan tablet keluaran Sony. Sekiranya tidak kehadiran aplikasi tambahan seperti Play Memories Mobile, Sony Select, TV Side View dan Xperia Lounge yang tidak boleh dinyahpasang akan hanya mengambil ruang simpanan peranti.

Bercakap tentang kustomasi tema, pilihan tema yang boleh dimuat turun semakin bertambah di Play Store tetapi kami menyedari majoritinya berbayar tidak seperti pada peranti Xiomi atapun Huawei.

Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah dengan peranti ini. Tatalan adalah amat lancar, aplikasi dapat dimainkan dengan sempurna dan tiada masalah peranti gagal berfungsi secara tiba-tiba.




Kamera

Kamera utama sebesar 20.7 Megapixel Xperia Z2 digunakan semula pada Z3. Ia boleh mengambil video pada resolusi 4K dengan mudah dan fungsi terkini yang diperkenalkan ialah mengambil video 240 frame sesaat pada resolusi 720P. Fungsi pergerakan perlahan ini sangat menarik perhatian kami kerana ianya sangat menakjubkan. Video pancuran air yang kami sempat rakamkan nampak sangat surrealistik. Seperti aplikasi kamera Samsung, pelbagai pra-tetapan fungsi kamera diberikan oleh Sony. Mahu mengambil gambar yang boleh difokuskan semula selepas foto diambil? Ada pemalam Backround Refocus yang mampu melakukan fungsi ini. Mahu lakukan lintas langsung terus ke Youtube? Ada pemalam Live On Youtube untuk anda.

Kami juga menyedari kewujudan aplikasi Movie Creator kali ini. Aplikasi ini menghasilkan video pendek sepanjang 30 saat secara automatik untuk anda. Ianya sama seperti fungsi Zoe Highlight pada peranti HTC. Anda boleh menetapkan bilakah video pendek ini akan dihasilkan. Ianya boleh dihasilkan seminggu ataupun sebulan sekali. Aplikasi Movie Creator akan memilih gambar dan klip video secara rawak untuk menghasilkan video pendek. Seperti pada Zoe, anda juga boleh memilih sendiri gambar dan video yang anda mahukan. Video yang dihasilkan kemudian boleh dieksport kedalam bentuk MP4.

Pendek kata terdapat pelbagai pemalam yang boleh dimuat turun untuk kegunaan tertentu. Kami lebih selesa menggunakan fungsi Superior Auto yang memilih tetapan gambar secara automatik mengikut situasi. Butang fizikal khas untuk pengatup kamera masih dikekalkan pada bahagian kini peranti. Aplikasi kamera boleh dilancarkan terus dengan menekan butang dan butang ini sangat berguna apabila mengambil gambar di dalam air.

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang kami ambil menggunakan Xperia Z3






 

Kesimpulan

Kualiti gambar yang diambil adalah baik sekali bagi sebuah peranti pintar. Penghasilan warna yang baik dan gambar yang diambil di dalam keadaan gelap kelihatan terang. Kekurangan yang kami sedari ialah terdapat sedikit masalah dedahan berlebihan pada kawasan terang. Lihat sahaja gambar langit pada gambar di atas.

Video

Ini pula ialah contoh video gerak perlahan 240 frame sesaat yang sempat kami rakamkan. Hasilnya kami rasakan cukup baik.


Penanda Aras

Z3 dilengkapi pemproses 2.5 GHz empat teras Snapdragon 801. Ini adalah peningkatan yang kecil jika dibandingkan dengan pemproses 2.3 GHz empat teras Snapdragon 801 Xperia Z2. Kami agak kecewa Sony tidak menggunakan pemproses dari keluarga Snapdragon 805 seperti yang digunakan pada Galaxy Note 4. Ujian penanda aras biasa kami lakukan dan anda boleh lihat kemampuan Z3 masih lagi antara di dalam lingkungan 5 terbaik yang pernah kami catatkan.  Tiada sebarang masalah untuk Z3 melakukan tugasan yang diberikan oleh anda. Ia mampu memainkan aplikasi permainan dengan lancar walaupun pada waktu yang sama melakukan screen mirroring menggunakan Chromecast.



Bateri

Apabila diumumkan pada IFA 2014 di Berlin September lalu, Sony mendakwa Z3 mampu bertahan selama 2 hari sebelum perlu dicas. Janji nampaknya tidak ditepati kerana kemampuan bertahan selama 2 hari ini hanya mampu kami capai sekiranya peranti digunakan pada tahap paling minimum. Ini pada pendapat kami adalah tidak realistik. Mana-mana peranti dengan bateri 3000 mAh keatas mampu bertahan selama 2 hari pada penggunaan paling minima. Hayat bateri yang lebih realistik pada penggunaan yang berat menggunakan rangkaian LTE ialah sekitar 12 jam. Ini tidak sama dengan 48 jam seperti yang dijanjikan tetapi adalah amat baik jika dibandingkan dengan purata 9 jam penggunaan pada peranti lain. Pada penggunaan sederhana peranti dapat digunakan melebihi 34 jam tanpa masalah. Kesemua ini dilakukan tanpa kami perlu menggunakan mod Ultra Stamina Mod yang mengurangkan lagi penggunaan tenaga bateri apabila tahap bateri adalah genting. Kami benar-benar kagum dengan ketahanan bateri 3100 mAh Xperia Z3. Ia menunjukkan bahawa peranti berspesifikasi tinggi mampu mempunyai hayat penggunaan yang panjang. Ia mengubat kekecewaan kami dengan Samsung Galaxy Alpha yang hanya mampu bertahan kurang dari 4 jam.


Penutup

Apakah premium? Rekaan logam sepenuhnya? Ini adalah jawapan dari Samsung. Badan aluminium yang mudah membengkok? Ini adalah jawapan Apple. Tubuh polikarbonat tahan lasak? Ini adalah jawapan Nokia. Bagi Sony premium ialah gabungan tubuh aluminium, sisi nylon dan kemampuan kalis air serta debu. Sebelum ini kami merasakan HTC One M8 ialah peranti Android kelas tertinggi yang terbaik di pasaran. Dengan mudah kami memberikan gelaran peranti terbaik Android di pasaran sekarang kepada Sony Xperia Z3. Kombinasi spesifikasi yang tinggi, kelancaran sistem operasi, kemampuan kamera yang baik serta hayat peranti yang panjang menjadikannya peranti yang kami syorkan pembeliannya kepada anda. Sebelum ini memang ada peranti yang lebih berkuasa dengan spesifikasi yang lebih baik. Malang sekali terdapat kekurangan pada bahagian bateri dan kemasan.

Xperia Z3 pada hemat kami hampir tidak mempunyai kelemahan. Kami katakan hampir kerana kelemahan yang paling ketara ialah ianya tidak banyak berbeza dari segi kemampuan jika dibandingkan dengan Z2 yang hadir awal tahun ini. Kemasan logamnya juga tidak tahan lasak jika dibandingkan dengan kemasan plastik Z2 sebelum ini. Sony Xperia Z3 sudah mula dijual di pasaran pada harga RM 2399. Harganya mungkin mahal tetapi jika anda mahukan kualiti dan peranti yang paling hampir kepada kesempurnaan, harga yang dibayar sangatlah berbaloi.

PRO dan Kelebihan
  • Kemasan premium yang bukan sahaja kemas tetapi selesa dipegang. Sisi kini melengkung dan tidak mempunyai bahagian yang tajam seperti pada Z2. Gabungan mantap rekaan dan fungsi.
  • Kalis air dan debu. Sungguhpun begitu ianya masih lagi nipis
  • Kemampuan memproses yang tinggi dan mampu melakukan kesemua tugasan tanpa masalah lengah masa ataupun peranti gagal beroperasi.
  • Kemampuan kamera yang baik dengan pelbagai pra-tetapan yang memudahkan anda mengambil gambar yang baik
  • Mengambil video pada resolusi 4K dan 240 frame setiap saat.
  • Ketahanan bateri yang baik. Mampu bertahan sepanjang hari pada penggunaan berat
KONTRA dan Kekurangan
  • Masih kekal dengan Snapdragon 801 dan bukannya 805 seperti Note 4. Pemproses kini 2.5 GHz berbanding 2.3 GHZ pada Z2.  Penambahbaikan yang kecil berbanding dengan model sebelumnya.
  • Kemasan logam pada sisi tidak tahan lasak seperti kemasan plastik pada Z2. Mudah tercalar.

 

Penafian - Advertorial oleh Sony Malaysia
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd