iPad Air Baru Dijangka Hadir Dengan Pilihan Warna Emas

iPad Air Baru Dijangka Hadir Dengan Pilihan Warna Emas

Diterbitkan pada Okt 1, 2014 oleh .

Dengan hadirnya bulan Oktober, satu lagi acara yang dinantikan ramai peminat produk Apple adalah pengenalan tablet terbaru daripada mereka – selain daripada sistem operasi OS X Yosemite.

Pelbagai desas-desus berkaitan tablet iPad telah kedengaran sejak beberapa bulan yang lepas – termasuk mungkin ditawarkan dalam pilihan saiz 12.9-inci dan sebagainya. Mengikut laporan Bloomberg, iPad versi 12.9-inci tidak akan diperkenalkan pada tahun ini, dan mungkin hanya akan hadir pada tahun hadapan.

Apple dijangka akan memfokuskan kepada iPad Air dan juga iPad Mini 2 pada bulan ini. Menariknya, versi iPad Air bersaiz 9.7-inci baru ini akan turut hadir dalam pilihan warna kerangka emas, dalam usaha untuk menarik lebih ramai pembeli mendapatkan tablet berkenaan.

Mengikut desas-desus sebelum ini, ia turut dikatakan mungkin menyertakan TouchID dan dilengkapi cip pemprosesan terbaru daripada Apple.

Buat masa ini, tarikh bilakah Apple akan mengumumkannya masih tidak diketahui, dan mungkin akan terjawab dalam masa terdekat ini.


TIPS & ULASAN