7 Pembaharuan Pada Windows 10 Technical Preview Berbanding Windows 8.1

7 Pembaharuan Pada Windows 10 Technical Preview Berbanding Windows 8.1

Diterbitkan pada Okt 2, 2014 oleh .

Microsoft kini telah pun menawarkan sistem operasi genreasi baru mereka versi pembangunan kepada semua, iaitu Windows 10 Technical Preview, sekaligus membolehkan pengguna mencuba sebahagian daripada fungsi baru yang dibawakan padanya.

Bagi anda yang tertanya-tanya mengenai perubahan yang dibawakan oleh Windows 10 berbanding Windows 8 hari ini, berikut merupakan antara perkara yang tampak jelas melalui versi Technical Preview.

Sokongan Menu Start

Windows 10

Salah satu perkara yang dinantikan ramai sejak pengenalan Windows 8 adalah menu Start. Microsoft telah sedia memperkenalkan butang Start pada Windows 8.1, dan kini melalui Windows 10, menu Start seperti pada Windows asalnya dikembalikan.

Pihak Microsoft juga turut menambah baiknya, dengan menyertakan sokongan Live Tiles pada menu Start.

Menggunakannya, kini pengguna boleh melihat kemaskini semasa Live Tiles dengan terus klik pada menu Start dan tidak lagi perlu ke halaman Start utama seperti sebelumnya.

Rekaaan Antaramuka “Continum”

Windows 10 memperlihatkan membawakan sedikit perubahan pada rekaan antaramuka, dimana ia berubah mengikut penggunaan peranti – terutamanya untuk peranti dua-dalam-satu yang mana boleh digunakan sebagai komputer riba dan juga tablet.

Melalui rekaan yang dinamakan sebagai “Continum”, ia membuat perubahan secara automatik, sekaligus memudahkan input secara sentuhan ataupun mengikut papan kekunci dan juga tetikus. Perubahan ini juga membawa kepada perubahan beberapa elemen rekabentuk pada sistem operasi tersebut secara keseluruhan. Fungsi ini bakal diintegrasikan pada versi akhir sistem operasi ini – berkemungkinan selari dengan pengenalan Windows 10 untuk saiz peranti dari 4-inci ke 80-inci.

Aplikasi Dengan Tetingkap

Windows 10

Pada Windows 8, Microsoft telah memperkenalkan fungsi untuk memasang aplikasi melalui Windows Store, dimana kesemua aplikasi tersebut dibuka dengan paparan skrin penuh – sekaligus menjadikan ia tidak begitu mesra untuk pengguna desktop.

Melalui Windows 10, perkara tersebut berubah, apabila kini pihak Microsoft menyertakan sokongan untuk membukanya menggunakan tetingkap tersendiri – dan seperti biasa, pengguna boleh mengubah saiz tetingkap dan sebagainya, lebih kurang seperti menggunakan perisian biasa pada Windows.

Sokongan Desktop Maya Melalui Task View

Windows 10

Pada Windows 8, pengguna boleh membuka aplikasi dan perisian yang dijalankan dengan swipe pada bahagian kiri desktop. Perkara ini boleh dikatakan tidak begitu mesra dan tidak digunakan ramai.

Untuk Windows 10, perkara tersebut berubah, dan pihak Microsoft hadir dengan Task View – yang mana turut berfungsi sebagai desktop maya.

Ini sekaligus membolehkan anda membahagikan tugasan, dan menjadikan anda lebih produktif dan terurus menggunakannya.

Command Prompt

command-promt

Command Prompt mungkin tidak digunakan ramai pengguna. Namun, pihak Microsoft masih memberikan perhatian untuknya, dan kini melalui Windows 10, ia menyokong beberapa perkara baru – dan salah satunya adalah kebolehan untuk menyalin kod dan menggunakan arahan “Paste” untuk menggunakan kod pada Command Prompt.

Snap Assist

Windows 10

Pada Windows 10, kini ia turut memberikan cadangan untuk anda sekiranya anda ingin menggunakan mod snap, dimana ia akan berikan anda pilihan daripada aplikasi-aplikasi yang sedia terbuka pada sesuatu desktop. Pengguna juga kini boleh menggunakan sehingga empat aplikasi dalam mod snap ini Windows 10.

Carian Pada Menu Start

Windows 10 - Search

Lebih kurang sama seperti fungsi carian di Charm Bar, kini fungsi carian disertakan terus pada menu Start, membolehkan pengguna membuat carian universal – terdiri daripada pelbagai dokumen dan perisian di dalam komputer, ataupun membuat carian aplikasi dan di web.


Ini boleh dikatakan sebahagian daripada fungsi-fungsi baru yang dibawakan oleh Windows 10, dan mungkin dari hari ke hari, kita akan lihat lebih banyak perkara baru ditemui pada sistem operasi baru daripada Microsoft ini.


TIPS & ULASAN