Cari @ Amanz

Honor 6

Honor (anak syarikat dibawah Huawei) memfokuskan kepada penawaran peranti pada harga rendah, dan menjualnya melalui laman VMall mereka. Terkini, selepas populariti Honor 3C, kini mereka turut hadir dengan sebuah lagi telefon pintar baru, dinamakan sebagai Honor 6.

Honor 6 membawa tanda harga RM999 di Malaysia, dan menjadi fokus utama penjualan peranti tersebut adalah dari segi penawaran spesifikasi tinggi – termasuk penggunaan cip pemprosesan lapan teras Kirin 920, dan juga sokongan rangkaian LTE Cat 6. Walaupun rangkaian LTE masih tidak meluas di Malaysia, namun pada harga dibawah RM1000, penawaran spesifikasi yang dibawakan oleh Honor 6 boleh dikatakan agak menarik – terutamanya jikalau dibandingkan dengan jenama-jenama popular yang lain.

Spesifikasi dan Rekabentuk

Honor 6

Honor 6
Pemproses Kirin 920 Lapan Teras
RAM 3GB
Muatan Dalaman 16GB + MikroSD
Kamera Utama 13-megapixel
Kamera Depan 5MP
Skrin 5.0″ – 1920×1080 pixel
Bateri 3100mAh

Secara kasarnya, Honor 6 membawakan saiz peranti seumpama pelbagai peranti flagship yang lain, dimana ia dilengkapi dengan skrin bersaiz 5-inci, dan menggunakan bahan binaan kerangka berasaskan kepada plastik. Honor dilihat memfokuskan kepada rekaan yang minimalis, dimana tiada sebarang logo dipaparkan pada bahagian hadapan, dan hanya satu logo dalam bentuk tulisan sahaja dipaparkan pada bahagian belakang peranti berkenaan.

Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi dengan skrin 5-inci pada resolusi 1920×1080 pixel. Pengguna boleh mengubah resolusi peranti ini, dan membuat sedikit penjimatan bateri melaluinya. Untuk pemprosesan, ia menggunakan cip Kirin 920 lapan-teras yang mana membawakan gabungan empat-teras A7 pada kelajuan 1.3Ghz dan empat-teras A15 pada kelajuan 1.7Ghz. Honor 6 turut membawakan tetapan khusus dinamakan “Performance Mode” yang mana membolehkan peranti tersebut dijalankan pada prestasi penuh, ataupun turut boleh mematikan fungsi tersebut untuk penjimatan bateri.

Untuk tujuan rakaman, pada bahagian belakang ia dilengkapi dengan kamera 13-megapixel dengan sokongan dua LED Flash, dan kamera 5-megapixel untuk tujuan selfie.

Beberapa sensor khusus turut disediakan, termasuk sokongan IR Blaster untuk mengawal televisyen – sepertimana yang terdapat pada peranti HTC One M8 dan juga Galaxy S5. Apa pun, ia tidak boleh digunakan di Malaysia buat masa ini, dan pihak Honor mengatakan ia akan diaktifkan melalui sebuah kemaskini kecil tidak lama lagi.

Honor 6

Honor 6

Untuk tujuan rangkaian, ia dilengkapi dengan sokongan rangkaian 4G LTE, selain turut menawarkan sokongan WiFi Direct, DLNA, Bluetooth 4.0 dan sebagainya. Perkara ini sekaligus menjadikan ia antara peranti dengan sokongan LTE menarik pada harga bawah RM1000.

Melengkapkan peranti ini adalah bateri berkapsiti 3100mAh, dan pihak Honor turut menyertakan sebuah mod khas untuk tujuan penjimatan bateri.

Untuk rekaan peranti, pada bahagian kanan peranti, ia membawakan butang kawalan audio dan juga butang kuasa, dan melalui penutup khusus ia menyertakan ruangan kad-SIM dan juga mikro-SD. Pada bahagian bawah ia menyertakan ruangan pengecasan mikro-USB, dan ruangan audio-jack serta IR diposisikan pada bahagian atas.

[amanz-gallery]

Perisian

Honor 6 hadir dengan Android 4.4.2 dan dilengkapi dengan antaramuka EmotionUI. Melalui antaramuka EmotionUI, ia tidak menyertakan sebarang app-tray, dan berfungsi menyerupai antaramuka pada iPhone, dimana pengguna boleh menatal ke kiri dan kanan untuk mengakses aplikasi dan widget pada skrin sama. Sokongan folder juga turut disediakan untuk menyertakan lebih dari satu aplikasi pada satu ruangan yang sama.

Memandangkan Emotion UI yang digunakan adalah versi 2.3, maka ia membawakan fungsi yang lebih kurang menyerupai apa yang terdapat pada Ascend P7. Namun, terdapat beberapa perbezaan, seperti pengguna tidak boleh mengawal paparan Quick Access pada talam notifikasi. Perkara ini mungkin tidak digemari sesetengah pengguna, dan begitu juga sebaliknya. Pihak Honor 6 turut menyediakan beberapa tema untuk peranti Honor 6, membolehkan pengguna mengubah pelbagai perkara – dari segi tema, ikon, gambar latar dan sebagainya, tanpa perlu menggunakan sebarang launcher pihak ketiga.

Honor 6
Honor 6

Untuk papan kekunci, pihak Honor sedia menyertakan sokongan Swype, membolehkan pengguna membuat input pantas dengan hanya meleretkan jari dari satu huruf ke huruf yang lain.

Bahagian lockscreen juga agak menarik, dimana ia memaparkan gambar yang berbeza-beza setiap kali pengguna nyah-kunci peranti mereka. Pengguna turut boleh mengakses kamera terus daripada skrin kunci, selain mana mereka turut boleh membuat kawalan asas seperti mengakses lagu, lampu suluh, kalendar dan kalkulator tanpa perlu nyah-kunci peranti mereka.

Honor 6
Honor 6
Honor 6

Pada bahagian kamera juga, beberapa fungsi menarik disertakan, termasuk memfokuskan kepada selfie, kebolehan memfokuskan kepada keseluruhan gambar ketika rakaman, sokongan mengawal ISO gambar, kebolehan menambah watermark pada gambar rakaman, dan sokongan merakamkan video dalam bentuk HDR.

Memandangkan mungkin terdapat beberapa pengguna baru yang turut mendapatkan peranti Honor 6 ini, mereka turut menyertakan mod yang dipanggil “Simple” – dimana menggunakannya ia memaparkan pelbagai ikon pada saiz besar untuk memudahkan pengguna menggunakannya dan memahami fungsi yang ditawarkan. Dan seperti pada beberapa peranti popular, pihak Honor turut menyertakan fungsi Power Saving pada peranti ini untuk memaksimakan penggunaan bateri.

Penutup

Melalui Honor 6, ia dilihat pihak Honor (anak syarikat Huawei) sedang mencuba menawarkan peranti dengan spesifikasi flagship pada harga peranti pertengahan (midrange). Usaha ini merupakan salah satu perkara yang dipuji, sekaligus membolehkan lebih ramai menggunakan peranti dengan sokongan rangkaian LTE.

Dengan pemasaran betul, tidak mustahil untuk Honor 6 menjadi popular dikalangan pengguna. Pihak Honor juga mungkin boleh menjadi salah satu jenama yang popular dengan turut menawarkan kemaskini semasa Android dan EmotionUI untuk para pengguna mereka.

Seperti biasa, ini hanya merupakan pandang pertama secara ringkas, dan kami akan membawakan ulasan penuh untuk Honor 6 ini dalam beberapa minggu lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd