Pasaran untuk telefon pintar terpakai boleh dikatakan antara pasaran yang besar, dan terutamanya untuk iPhone, ia mempunyai permintaannya yang tersendiri. Perkara ini sekaligus membawa kepada beberapa kesan negatif, dimana salah satunya adalah iPhone dicuri dan dijual semula kepada pemilik baru.
Pengguna iPhone sedia ditawarkan dengan fungsi untuk mematikan telefon pintar mereka sekiranya dicuri atau hilang, sekaligus membuatkan ia tidak boleh digunakan oleh pembeli baru. Terdapat beberapa pembeli baru yang selalunya membuat pembelian melalui talian tidak berpeluang menyemak telefon tersebut secara terus, dan sering tertipu apabila menerima set yang telah dikunci pemilik asal.
Untuk mengatasinya, kini pihak Apple menyediakan sebuah aplikasi berasaskan web, dinamakan sebagai Activation Lock. Menggunakannya, pengguna boleh menyemak terlebih dahulu sama ada sesuatu peranti tersebut telah dikunci oleh pemilik asal atau sebaliknya.
Menggunakannya, pengguna hanya perlu memasukkan kod IMEI atau nombor siri telefon atau iPad yang ingin dibeli, dan Apple akan memaparkan status peranti tersebut sama ada dikunci ataupun sebaliknya.
Sekiranya ia dikunci, Apple akan memaparkan mesej mengatakan Apple ID pengguna asal akan diperlukan untuk menggunakan dan mengaktifkan peranti berkenaan. Sebaliknya, sekiranya peranti tersebut tidak dikunci, maka Apple akan memaparkan mesej yang mana peranti tersebut sedia digunakan oleh pengguna baru tanpa sebarang masalah.
Fungsi ini sekaligus membolehkan pengguna mengelak daripada terbeli telefon yang terkunci disebabkan oleh iPhone tersebut hilang atau dicuri daripada pemilik asal.
- Layari : iCloud Activation Lock