Mozilla sedia memulakan proses pembangunan pelayar web Firefox 64-bit beberapa tahun lepas, tetapi menangguhkan ia daripada diperkenalkan ke saluran stabil disebabkan beberapa perkara ketika itu. Kini, dengan lebih 50% pengguna Windows yang menjalankan Firefox menggunakan sistem operasi versi 64-bit, pihak Mozilla melihat sudah tiba masanya untuk memperkenalkan versi 64-bit untuk pelayar web mereka.
Seperti semua sedia maklum, melalui versi 64-bit, ia menawarkan sekuriti, kestabilan dan prestasi yang lebih baik berbanding dengan versi 32-bit. Mozilla sendiri mengatakan perkara ini mungkin tidak diketahui oleh kebanyakkan pengguna jikalau dibandingkan dengan versi 32-bit, tetapi telah menjadi tanggungjawab mereka untuk memperkenalkan versi 64-bit pelayar web mereka kepada umum.
Perkara ini juga mungkin merupakan langkah Mozila untuk terus bersaing dengan aktif bersama beberapa jenama lain. Google sendiri baru-baru ini telah memperkenalkan Chrome versi 64-bit kepada pengguna Windows, dan semestinya pihak Mozilla tidak ingin ketinggalan.
Buat masa ini, mengikut cadangan pihak pembangun Mozilla, mereka menyasarkan untuk memperkenalkan ia pada Firefox 37 – dimana versi stabilnya dijadualkan pada bulan Mac 2015 kelak.
Seperti biasa, ia boleh dikatakan masih pada peringkat pembangunan dan perancangan – dimana berkemungkinan beberapa perkara mungkin berubah mengikut jadual dan latar pembangunan mereka.
Bagi anda yang ingin menggunakan Firefox versi 64-bit, mungkin boleh mencuba ia di saluran Nightly, ataupun mencuba versi alternatif – Pale Moon.