Mungkinkah Microsoft menjana lebih banyak daripada Android, berbanding Google?
Microsoft sedia mempunyai perjanjian perlesenan untuk beberapa paten yang digunakan oleh pengeluar peranti Android – termasuk daripada pihak Samsung. Terkini, melalui dokumen mahkamah yang hadir, ia dilihat Samsung telah membayar Microsoft lebih kurang $1 bilion sebagai wang perlesenan dan royalti untuk jualan peranti Android.
Perkara ini juga selari dengan laporan penganalisa yang anggarkan pendapatan Microsoft melalui royalti paten Android mencapai sehingga $2 bilion pada tahun lepas.
Melalui dokumen mahkamah yang difailkan oleh Microsoft, gergasi perkomputeran terkemuka tersebut mengatakan mereka mempunyai paten untuk beberapa perkara berkaitan peranti mudah-alih, dan Samsung telah menandatangani perjanjian bersama pihak Microsoft pada September 2011 yang lepas.
Apa pun pihak Samsung kini ingin menamatkan perjanjian yang sepatutnya selama tujuh tahun tersebut, mengatakan pembelian Nokia oleh Microsoft mematikan perjanjian kedua-dua pihak.
Microsoft tidak bersetuju dengan perkara tersebut, dan kini memfailkan saman meminta Samsung membayar lebih kurang $6.9 juta daripada faedah amaun yang tidak dibayar tahun lepas.
Ia tidak diketahui lagi bagaimanakah perkara ini akan memberikan kesan kepada kerjasama kedua-dua pihak, dan apakah keputusan mahkamah kelak.