Penggunaan telefon mudah alih secara meluas membuatkan jutaan telefon awam yang wujud di seluruh dunia semakin tidak releven. Secara peribadi kali terakhir kami menggunakan sebuah telefon awam adalah 14 tahun yang lalu apabila telefon mudah alih kami gagal menerima isyarat selular. Di Kuala Lumpur kami menyedari majoriti telefon awam kini hanya tinggal pondok dan pendakap besinya sahaja.
Di Kota London ribuan pondok telefon merah yang ikonik kini terbiar dan menjadi tempat berteduh gelandangan apabila cuaca sejuk. Ini memberikan idea kepada Harold Craston dan Kirsty Kenny, dua pelajar London School of Economics untuk mewujudkan Solarbox. Pondok telefon yang terbiar diubah suai menjadi pondok mengecas peranti berkuasa solar. Di dalam Solarbox terdapat empat kabel pengecas peranti yang paling banyak digunakan orang ramai. Panel solar diletakkan pada bumbung Solarbox yang mampu mengecas peranti sebanyak 20% dalam masa 10 minit. Di dalam pondok ini terdapat sebuah iPad yang memainkan iklan sementara pemilik menanti peranti mereka dicas.Bagi mengelakkan ianya dicuri iPad ini diletakkan di dalam cangkerang khas dan kiosk Solarbox akan dikunci pada waktu malam. Buat masa ini hanya sebuah Solarbox dibuka dengan perancangan 5 lagi akan dibuka menjelang April 2015. Kos selenggara dan pembuatan Solarbox ditanggung oleh penjualan iklan pada paparan skrin terbina di dalamnya. Sambutan terhadap penggunaan pondok pengecas ini adalah menggalakkan. Ini adalah projek kitaran semula barangan lama yang baik untuk komuniti.
Di Malaysia 4 tahun dahulu ada kiosk mengecas percuma di platform KL Monorel. Kami tidak tahu mengapa kiosk mengecas ini tidak lagi wujud kerana ianya beberapa digunakan oleh kami ketika kecemasan. Idea Solarbox ini mungkin boleh digunapakai di Malaysia dengan syarat pengguna tahu menjaga harta benda awam. Kadang kala projek awam sebegini tidak tahan lama di Malaysia kerana ramai berperangai seperti monyet mendapat bunga.