Dengan perkembangan peranti mudah-alih, nampaknya pelbagai syarikat memfokuskan kepada sokongan pembayaran mudah-alih mereka tersendiri. Facebook tidak ketinggalan, dan mereka telah diura-ura akan dengan perkhidmatan pembayaran terbina pada aplikasi mudah-alih sejak beberapa bulan yang lepas.
Kini, lanjutan daripadanya, beberapa paparan skrin baru memperlihatkan sokongan pembayaran yang diintegrasikan pada perkhidmatan permesejan mereka – Facebook Messenger. Melaluinya, ia dilihat pengguna boleh menghantar wang kepada rakan mereka yang lain di Facebook dengan mudah.
Mengikut laporan pihak TechCrunch, perkhidmatan tersebut dijangka akan menyokong pembayaran melalui kad debit sahaja pada awalnya, dan tidak mustahil untuk ia diperluaskan kepada sokongan lain pada masa akan datang.
Facebook pada hari ini sendiri mempunyai data pembayaran sebahagian pengguna – yang mana telah sedia menggunakannya untuk permainan dan pengiklanan pada Facebook.
Facebook juga dijangka akan terus memperluaskan sokongan pembayaran mereka, dan turut dikatakan akan memperkenalkan butang pembelian pada perkhidmatan mereka.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sama ada paparan skrin ini hanya sekadar ujian awal pihak Facebook sahaja, ataupun ia akan diperkenalkan kepada umum tidak lama lagi.