Opera sedia menawarkan pelayar web mereka untuk beberapa peranti, dan hari ini mereka memperluaskannya dengan memperkenalkan pelayar web mereka untuk Samsung Gear S.
Samsung Gear S merupakan jam tangan pintar daripada Samsung, yang hadir berasaskan Tizen dan dilengkapi dengan kad-SIM. Dengan kehadiran Opera Mini untuk Gear S, ia sekaligus membolehkan pengguna jam tangan pintar tersebut melayari web yang mesra skrin kecil pada jam tangan pintar mereka tersebut.
Opera turut mengatakan yang mana pelayar web Opera Mini untuk Gear S ini dioptimasikan untuk penggunaan skrin kecil, dan membawakan pelbagai fungsi khusus untuk kawalan jari padanya. Fungsi Speed Dial turut dipaparkan dengan saiz besar untuk memudahkan penggunaan di Gear S, selain mana versi pelayar web ini turut hadir dengan sokongan Private Browsing.
Bagi pengguna Gear S, mereka boleh memuat-turun pelayar web Opera Mini ini secara percuma dari Samsung Gear Apps hari ini.