Cari @ Amanz

HTC bakal melancarkan beberapa produk baru mereka dalam tempoh kurang 24 jam lagi yang terdiri daripada telefon pintar baru dan juga sebuah kamera aksi yang boleh dihubungkan kepada peranti Android dan iOS. Tetapi bagaimana pula dengan jam tangan pintar daripada mereka?

Menurut HTC, mereka sebelum ini menyasarkan untuk melancarkan jam tangan pintar mereka pada sekitar bulan ini, tetapi telah menangguhkannya disebabkan tidak begitu bersedia lagi.

Jam tangan pintar telah menjadi fokus pelbagai pengeluar akhir-akhir ini, dimana pelbagai jam tangan pintar telah diperkenalkan dalam masa sebulan dua yang lepas – termasuk daripada Samsung, Asus, Sony, Motorola, LG dan pelbagai jenama lain.

Menurut HTC, mereka masih tidak dapat melihat penggunaan jam tangan pintar yang aktif pada hari ini. HTC mengatakan mereka bakal hadir dengan produk mereka yang memberi sebab untuk pengguna menggunakannya setiap hari – berbeza dengan beberapa peranti lain pada hari ini.

HTC dijangka akan menawarkan lebih maklumat mengenai produk mereka sekitar awal tahun hadapan, dan mungkin kita akan dapat melihat bagaimanakah strategi pihak HTC dengan jam tangan pintar mereka pada tahun 2015 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd