“Adakah penggunaan peranti pintar baik untuk anak-anak” ialah persoalan yang pernah kami tanyakan kepada pembaca beberapa bulan dahulu. Nampaknya kami sudah menemui jawapan kepada soalan ini dan ianya bukan jawapan yang menyedapkan hati. Sebuah kajian yang dilakukan oleh Kep Kee Loh dan Ryota Kanai dari Institute of Cognitive Neuroscience, University College London United Kingdom mendapati terdapat pertalian di antara penyusutan saiz otak dengan penggunaan pelbagai peranti multimedia. Di dalam kertas kajian yang dihasilkan, Kep dan Kanai mendapati jirim kelabu kawasan Anterior Cingulate Cortex pengguna pelbagai peranti mengecut berkadar terus dengan jumlah peranti yang digunakan. Kawasan ACC ialah bahagian otak yang bertanggang jawab mengawal kognitif dan emosi manusia. Pengurangan jirim kelabu ini boleh membawa kepada masalah kemurungan dan kegelisahan ketika bersosial. Paling merisaukan pengecutan jirim kelabu ACC ini menyerupai otak pesakit PTSD, OCD dan masalah ketagihan. Kajian ini dilakukan ke atas 75 individu dewasa. Menurut Kep dan Kanai hasil kajian ini menunjukkan betapa pentingnya perubahan dilakukan kepada sistem pendidikan di masa hadapan. Penggunaan peranti pintar yang sebelum ini dipercayai dapat menghasilkan pelajar lebih pandai mungkin tidak 100% tepat dan perlu diperhalusi bagi memastikan kesan negatif dapat dikurangkan. Kajian ini masih belum selesai kerana penggunaan pelbagai peranti di dalam kehidupan seharian masih lagi baru di dalam tamadun manusia. Mereka kini sedang melihat bagaimana otak manusia moden berubah dan melakukan penyesuaian dalam jangka masa panjang.
Keputusan kajian ini nampak agak menakutkan tetapi pada masa yang sama adalah sangat menarik. Perubahan otak dan tubuh manusia bergantung kepada persekitaran bukanlah perkara yang baru. Sebarnya umat manusia contoh sudah membiasakan diri dan berevolusi mengikut persekitaran selama jutaan tahun. Sebagai contoh tubuh manusia moden seperti kita sudah biasa dengan kehidupan sedentari dan diet makan terproses. Jika saintis kurun ke-19 mengembara menggunakan Mesin Cahaya Masa mereka juga pasti terkejut dengan perubahan fisiologi kita berbanding dengan mereka. Jadi sementara kesan jangka panjang dapat dipastikan, kami rasakan adalah baik sekiranya kita mengurangkan penggunaan pelbagai peranti pada diri sendiri dan anak-anak. Bak kata pepatah Inggeris “just to be sure”.
Sumber Plosone