Berita baik untuk para pelajar terutama pelajar jurusan IT: GitHub baru sahaja mengumumkan program GitHub Student Developer Pack. Melaluinya, para pelajar boleh mendapatkan akses percuma kepada pelbagai perkhidmatan dan servis profesional, termasuk GitHub Micro, domain percuma dengan akhiran .ME daripada Namecheap, SSL percuma, Unreal Engine, dan pelbagai perkhidmatan lain lagi.
Menurut GitHub, pendedahan amali menggunakan peralatan atau perisian pengaturcaraan adalah penting untuk para pelajar untuk mempelajari suasana sebenar dunia pengaturcaraan. Namun, kebanyakan perisian yang terdapat di pasaran adalah mahal dan seringkali menjadi halangan untuk para pelajar. Sehubungan dengan itu mereka hadir dengan inisiatif Student Developer Pack ini.
Untuk mengaktifkan akaun Student Developer Pack, anda memeluarkan email dengan akhiran .edu daripada universiti anda, bersama-sama dengan salinan kad pelajar serta surat kemasukan / pendaftaran
universiti anda (ataupun transkrip).
Bukan sahaja GitHub, namun beberapa penyedia servis turut sama mengorak langkah memberikan akses bertaraf profesional kepada para pelajar pada harga yang tersangatlah rendah – jika tidak percuma. Contohnya sekarang ini Namecheap sedang mengadakan program yang membolehkan anda mendapatkan domain .ME percuma bersama-sama dengan langganan About.Me premium tanpa sebarang kos. JetBrains juga turut menyertai trend ini dengan menawarkan kesemua perisian Integrated Development Environment (IDE) mereka secara percuma untuk pelajar.
Dengan hadirnya peluang untuk mendapatkan servis bertaraf profesional secara percuma, kami berpendapat bahawa inilah masanya untuk para pelajar jurusan IT seperti kejuruteraan perisian, sains komputer, kejuruteraan komputer dan lain-lain jurusan yang berkaitan untuk mencedok manfaat sebanyak yang mungkin. Dengan pendedahan awal terhadap aplikasi pembangunan perisian and pengaturcaraan ini diharap ia mampu menjadikan para pelajar lebih berminat untuk berusaha dengan lebih gigih lagi demi masa depan sektor IT di Malaysia.