“Burung apa tu Man? Burung Murai. Burung apa tu Man? Burung Murai!”
Ini ialah dialog legenda dari pada pendapat kami iklan Hari Raya yang paling meruntun jiwa. Di dalam iklan Hari Raya Petronas 2007 ini seorang bapa yang mengalami masalah nyanyuk bekali-kali bertanyakan soalan yang sama kepada anak beliau sehingga si anak naik berang. Iklan ini menyentuh kalbu dan membuatkan lagu Ayah Dan Ibu dendangan Sudirman kini menjadi lagu wajib dimainkan ketika hari lebaran. Sekiranya situasi yang sama berlaku kepada kami, kami akui kami tak tahu membezakan bunyi burung. Orang hutan konkrit seperti kami lebih tahu membezakan bunyi deringan peranti pintar pengeluar berbeza dari kicauan burung di atas pokok. Oleh itu bagi menyelesaikan masalah ini kami memerlukan aplikasi seakan Soundhound khas untuk burung yang diberi nama Warblr. Seperti Soundhound dan Shazam, aplikasi ini mendengar bunyi kicauan burung dan kemudian meneka spesis burung yang didengari. Ianya dicipta oleh bagi memudahkan tujuan pemuliharaan habitat burung. Kami tidak tahu sama ada di Malaysia ada kelab pencinta burung yang keluar setiap minggu untuk mencari spesis burung tertentu. Aplikasi ini dibangunkan di United Kingdom yang mempunyai komuniti birdwatcher yang agak besar. Ianya masih mengumpul dana dan dijangka dilancarkan musim bunga tahun hadapan. Hanya peranti IOS dan Android akan disokong buat masa ini. Sebuah lagi aplikasi yang dicipta bagi memudahkan kita mengenal pasti flora dan fauna di sekeliling kita.