Cari @ Amanz

Setelah 5 bulan MaGIC dilancarkan, pelbagai acara diadakan dalam mempromosi dan melestarikan dunia startup tempatan. Pada minggu hadapan, mereka akan mengadakan program selama 5 hari bermula 15 Oktober sehingga 19 Oktober dan setiap hari tersebut membawakan temanya yang tersendiri. Menariknya, setiap seminar pada hari tersebut dilihat bakal membawakan pengisian menyeluruh disamping mempromosi MaGIC Startup Academy.

Seminar ini terbahagi kepada dua fokus, iaitu ‘Beginner’ khusus kepada mereka yang baru bermula dalam dunia startup dan juga ‘Advanced’ yang  khusus kepada mereka yang sudah mempunyai pengalaman dalam dunia startup. Panel jemputan juga terdiri dari pelabur saham, jurulatih serta pakar yang menawarkan khidmat nasihat untuk peserta. Seminar selama 5 hari ini merupakan kursus berbayar dan peserta boleh memilih untuk menyertai sebarang hari tertentu.

15 Oktober – Hari berkenaan produk.

Pada hari pertama ini, peserta akan belajar berkenaan model bisnes berkenaan produk yang akan dibangunkan mereka termasuklah tips berkenaan rekaan aplikasi dan produk, UI / UX (User Interface / User Experience), serta teknik dalam mengendalikan projek.

16 Oktober – Hari berkenaan pemasaran.

Pada hari kedua, peserta akan mempelajari cara-cara memasarkan produk dan akan didedahkan dengan taktik pemasaran yang berkesan. Peserta juga akan belajar cara menganalisis sesuatu projek dan menariknya, terdapat panel jemputan yang akan berkongsi cara untuk melebarkan sayap startup anda ke Indonesia.

17 Oktober – Hari berkenaan pelaburan dana.

Pada hari ketiga, peserta akan didedahkan berkenaan dunia pelaburan dan dana. Terdapat pelbagai pengasas syarikat yang akan berkongsi pengalaman berkenaan cara-cara untuk memperoleh dana, cara berunding serta cabaran yang dihadapi mereka. Pada akhir hari tersebut, terdapat acara ‘Pitching’ mengetengahkan 15 startup yang akan berentap mendapatkan dana berjumlah RM 1 Juta.

18 Oktober – Hari berkenaan budaya startup.

Hari keempat dilihat bakal melengkapkan kesemua perkara yang telah dipelajari. Peserta akan mengetahui budaya startup yang diamalkan. Beberapa pengarah syarikat tempatan akan berkongsi mengenai budaya serta gerak kerja di syarikat mereka.

19 Oktober – Hari berkenaan kerjaya dunia startup.

Hari terakhir seminar ini terbuka kepada umum dan tiada bayaran dikenakan. Sesi yang dijalankan pada hari tersebut memfokuskan kepada mereka yang ingin mencari peluang untuk bekerja bersama startup sama ada sekadar pelatih, pekerjaan separuh masa sepenuh masa. Hadirin akan dapat mempelajari berkenaan pekerjaan dalam dunia startup dari sudut pandang seorang pekerja. Turut sama pada hari tersebut adalah Azran Rani, CEO Air Asia X dan juga Aaron Gill, dari MyTeksi yang akan berkongsi pengalaman mereka. Pada hari tersebut juga sehingga 55 startup akan membuka kaunter kerjaya mereka jadi bagi mereka yang ingin bekerja dengan startup semestinya tidak ingin melepaskan peluang ini.

Harga pas masuk untuk kursus ini bermula pada RM50 bagi pas masuk 1 hari dan terhad untuk kursus ‘Beginner’, serta RM100 untuk pas masuk 1 hari untuk kursus ‘Advanced’. Sekiranya anda ingin hadir pada keempat-empat hari serta berjumpa dengan pakar yang menyediakan khidmat nasihat, pas masuk 4 hari kursus ‘Beginner’ beharga RM150 manakala pas masuk 4 hari kursus ‘Advanced’ beharga RM250. Sekiranya anda mencari pengisian berkenaan dunia startup, acara ini seharusnya tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd