Cari @ Amanz

Pada akhir bulan Ogos yang lalu Jabra Malaysia telah memperkenalkan empat peranti baru berasaskan Bluetooth iaitu Jabra Storm, Jabra Stealth, Jabra Step Wireless, dan Jabra Rox Wireless. Kami berkesempatan untuk mencuba Jabra Step Wireless dan Jabra Rox Wireless. Untuk ulasan pertama ini kami akan berkongsi mengenai Jabra Step Wireless.

[amanz-gallery]

Rekabentuk

Jabra Step Wireles merupakan fon telinga yang mempunyai rekaan khusus buat mereka yang aktif bersukan bagi memastikan ianya tidak akan tertanggal semasa melakukan aktiviti tersebut. Ia mempunyai Earhook yang boleh ditanggalkan, iaitu tangkai yang boleh menyangkutkan fon telinga berjenis ‘in-ear’ ini kepada cuping telinga anda. Ini mungkin kerana berbeza dengan Jabra Tag, ia mempunyai perumah kepada pembesar suara yang diarahkan tepat kepada lubang telinga. Perumah ini juga merupakan komponen yang memuatkan lubang Mikro-USB untuk tujuan pengecasan dan terdapat lampu status LED yang akan memberikan indikasi buat pengguna.

Jabra Step Wireless

Kawalannya menggunakan butang yang terdapat pada sebelah kanan. Terdapat butang untuk mengawal tahap suara, butang untuk mengangkat panggilan, dan pengguna boleh mengawal lagu menggunakan butang kawalan tahap suara. Ia hadir pada satu pilihan warna sahaja iaitu warna hitam dan terdapat gantian Eargels, bergantung kepada saiz lubang telinga anda. Wayar yang menghubungkan kedua belah fon telinga ini akan diletakkan dibelakang leher pengguna. Ia mempunyai rekaan kalis debu dan air.

Prestasi

Fon audio ini memerlukan sambungan Bluetooth kepada telefon pintar sama ada untuk tujuan telefoni mahupun mendengar lagu. Ia boleh bertahan sehingga 4 jam waktu berbual atau waktu memainkan lagu. Jabra Step Wireless juga memerlukan sehingga 2 jam untuk pengecasan penuh. Berkenaan prestasi fon ‘in-ear’-nya, ianya agak baik dan mempunyai kualiti ‘Bass’ yang cukup, sesuatu yang agak berbeza berbanding Jabra Tag. Kualiti bunyi yang dihasilkan agak baik dan ia juga ketat dan sesuai digunakan semasa aktiviti lasak.

Jabra Step Wireless-IMG_7510

Satu perkara yang menjengkelkan adalah sudut tujahan fon ‘in-ear’ dari perumahnya. Ia tidak boleh diubah, dan dengan kata lain, anda perlu menyasarkan fon’ in-ear’ tepat ke lubang telinga. Apapun perumahnya tidak akan menyentuh telinga anda. Sekiranya anda menggunakan fon audio ‘in-ear’, kebiasaannya anda perlu menyumbatkan ia kedalam lubang telinga namun dengan adanya Earhook, sekiranya anda tidak ingin menyumbatkan ‘in-ear’ kedalam lubang telinga, adalah memadai dengan hanya meletakkannya dan ia masih stabil dan tidak mudah terjatuh.

Pada harga RM249, saya kira ia memenuhi kehendak mereka yang aktif bersukan atau kerap melakukan aktiviti lasak dan memerlukan fon telinga sebegini. Ia boleh didapati di kedai-kedai aksesori telefon pintar dan juga rangkaian kedai elektronik ternama seperti Radio Shack dan Harvey Norman.

Pro

  • Rekaan yang lasak dan kalis air dan debu.
  • Earhook yang selesa serta tidak mudah tanggal.
  • Kualiti audio yang baik.

Kontra

  • Tiada pilihan warna.
  • Waktu operasi selama 4 jam dirasakan sedikit.
  • Aplikasi Jabra Sound tidak terdapat untuk peranti ini.

Penafian: seperti bau dan rasa, ulasan berdasarkan pendengaran terhadap peranti audio adalah tertakluk kepada personaliti dan kebolehan penulis itu sendiri. Anda dinasihatkan supaya mencubanya terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd