Carian
Belanjawan 2015 – Industri Kandungan Digital, Inovasi, Dan Jalur-Lebar Menjadi Fokus Dalam Bidang ICT
October 10, 2014 Aman

@NajibRazakPada hari ini, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan Belanjawan 2015, sekaligus memperlihatkan peruntukkan dana untuk pelbagai perkara, termasuk untuk industri ICT dan Sains.

Daripada apa yang diumumkan, kerajaan akan memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta dibawah Industri Kandungan Digital yang mana akan diperuntukkan melalui SKMM. Pengenalan dana ini dilihat merupakan lanjutan daripada pengenalan dana yang lebih kurang sama pada tahun 2012 melalui MyCreative Ventures. Melaluinya, pelbagai kandungan digital dan kreatif dijangka menerima kesan positif – terutamanya yang melibatkan animasi.

Disamping itu, kerajaan juga akan meneruskan usaha memperluaskan keupayaan jalur-lebar berkelajuan tinggi, dimana sebanyak RM2.7 bilion akan dibelanjakan untuk tempoh tiga tahun akan datang yang melibatkan pembinaan menara pencawang dan juga kabel dasar laut. Pengumuman ini dilihat sama seperti pengumuman belanjawan pada tahun 2014 yang lepas, tetapi memperlihatkan peruntukkan ditambah kepada RM2.7 bilion – yang akan dibelanjakan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Kerajaan juga turut mengumumkan yang mana mereka akan memperuntukkan sebanyak RM1.3 bilion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk beberapa program, termasuk untuk mempertingkatkan produk-produk inovatif, selain menawarkan dana untuk kajian dan yang berkaitan dengannya.

Kerajaan juga dilihat akan menjenamakan semula SIRIM, dan turut hadir dengan inisiatif baru dinamakan “Public Private Research Network”. Selain itu, Agensi Inovasi Malaysia akan menerima sedikit dana daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha meneruskan program perkomersialan teknologi tempatan.

Belanjawan 2015 turut memperlihatkan kerajaan ingin menarik lebih ramai pelabur dalam arena ICT, dimana sebuah program dan pakej insentif khusus bakal ditawarkan untuk pelabur-pelabuar dalam projek berasaskan teknologi.

Komen