Cari @ Amanz

Nexus 6 Mungkin Hadir Pada Bulan Ini Bersama-sama Android L

Oleh Aman

Link Copied!

Google sebelum ini telah memperlihatkan Android L secara ringkas, dan mereka dijangka akan memperkenalkan ia pada bulan ini – bersama-sama dengan sebuah telefon pintar baru dinamakan Nexus 6.

Menurut WSJ, Nexus 6 ini akan mempunyai skrin bersaiz 5.9-inci, dilengkapi skrin pada resolusi tinggi dan akan dikeluarkan oleh pihak Motorola yang telah dibeli oleh Lenovo pada tahun ini. Perkara ini boleh dikatakan selari dengan pelbagai desas-desus yang kedengaran sebelum ini.

Perkara ini sekaligus menjadikan Google memperkenalkan buat pertama kalinya peranti Nexus dibawah kategori phablet yang telah dipopularkan oleh Samsung beberapa tahun lepas. Memandangkan kebanyakkan telefon pintar pada hari ini membawakan skrin bersaiz 5-inci dan ke atas, maka mungkin pihak Google sendiri ingin menawarkan kemudahan untuk para pembangun melalui peranti Nexus 6 ini.

Pada masa yang sama, phablet dikatakan menjadi fokus ramai pengeluar disebabkan oleh saiznya yang membolehkan pengguna dinegara membangun menggunakan ia bukan sahaja sebagai telefon, tetapi juga sebagai komputer mereka dalam melayari web dan membuat beberapa tugasan ketika bergerak.

Buat masa ini, tiada tarikh rasmi diberikan, dan Google dijangka akan mengumumkan Nexus 6 ini bersama-sama pengenalan Android L.


Komen ()