Cari @ Amanz

Bagi mereka yang ingin berpindah rumah atau pejabat, salah satu perkara yang akan dilakukan adalah mencari lori sewa pada harga yang kompetitif. Untuk memudahkan proses berkenaan, salah satu perkhidmatan baru yang hadir adalah TheLorry.

TheLorry

TheLorry dibangunkan oleh syarikat tempatan, dan ingin memudahkan pengguna mencari syarikat lori sewa, disamping membandingkan harga tawaran daripada beberapa syarikat berbeza. Baru-baru ini, mereka turut telah mengumumkan kerjasama dengan pihak RumahSewa.com untuk memudahkan proses berpindah.

Daripada laman rasmi TheLorry, ia dilihat hanya meliputi kawasan sekitar Lembah Klang dan Selangor sahaja buat masa ini, dan pengguna boleh membuat pilihan saiz lori yang ingin disewa, sama ada satu tan, tiga tan ataupun lima tan.

Sebaik sahaja membuat pilihan saiz lori, pengguna seterusnya perlu memilih lokasi dan destinasi, seterusnya TheLorry akan memaparkan harga yang dicaj oleh sesuatu syarikat.

Pengguna seterusnya boleh membuat tempahan melalui laman berkenaan, disamping memilih bilangan pekerja yang diingini untuk membantu anda membuat pemindahan. Pembayaran akan dilakukan sebaik sahaja lori sampai ke destinasi anda.

Secara kasarnya, ia boleh dikatakan ingin memudahkan proses menyewa lori oleh para pengguna, dan pada masa yang sama tidak lagi memerlukan anda melalui proses yang sukar seperti sebelumnya. Bagi kami, mungkin pihak TheLorry boleh menambah beberapa fungsi lain pada masa akan datang, termasuk maklumbalas pengguna sedia ada yang telah melanggan perkhidmatan daripada syarikat lori tersenarai, sekaligus memudahkan lagi proses memilih berbanding hanya harga sahaja.

Bagi anda yang berminat, boleh menyemak laman TheLorry hari ini dan mencubanya sendiri.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd