Dianggarkan kira-kira 3.5 bilion peminat bola sepak, lantas menjadikannya sukan paling popular seantero ini. Sebagai peminat tegar, sudah pasti kita akan menyaksikan pasukan kegemaran beraksi secara langsung. Namun atas kekangan masa, ramai antara kita mungkin tidak berpeluang melakukanya atau berlaku masalah pertindihan beberapa perlawanan pada waktu yang sama. Sebagai ganti, kita hanya akan mengemaskini keputusan perlawanan melalui aplikasi dalam peranti pintar. Pelbagai aplikasi ditawarkan di Google Play dan App Store bagi mengemaskini secara langsung jadual dan keputusan perlawan sukan bola sepak. Pada kali ini, penulis akan melakukan ulasan aplikasi Forza Football atau dahulunya dikenali sebagai Live Score Addicts.
Pada permulaan pemasangan aplikasi ini, pengguna diberi pilihan untuk mengikuti beberapa liga atau kelab popular di seluruh dunia. Buat pengetahuan anda, aplikasi ini merangkumi lebih 420 liga serta piala bola sepak dan apa yang menariknya liga tempatan turut disediakan. Aplikasi ini turut mencadangkan beberapa kelab popular untuk diikuti.
Di samping itu, kita boleh menetapkan notifikasi pada pasukan yang kita gemari. Melalui tetapan ini peranti akan menerima notifikasi yang juga akan dipilih oleh pengguna. Sebagai contoh seperti paparan di bawah, terdapat 9 pilihan notifikasi pasukan yang boleh dipilih. Notifikasi ‘match reminder’ misalnya memberitahu perlawanan yang diikuti akan berjalan dalam masa 30 minit lagi. Melalui pilihan pasukan kegemaran, pengguna juga dapat melihat kesemua jadual perlawanan yang akan berlangsung dalam ruangan My Calendar. Masa dan tarikh yang dipamerkan adalah mengikut waktu Malaysia. Jika dipilih pada perlawanan yang disenaraikan, ‘countdown’ sebelum sepak mula akan dipaparkan. Di samping itu, beberapa statistik turut dimuatkan dalam ruangan ini.
Pada ruangan All Matches pula, aplikasi ini akan menyenaraikan kesemua perlawanan rasmi yang sedang berlangsung pada hari tersebut di seluruh dunia. Di ruangan My Competitions , aplikasi ini menyenaraikan setiap perlawan pasukan yang diikuti oleh pengguna pada awal pemasangan aplikasi tadi. Pengguna boleh mengubah semula liga dan piala untuk diikuti pada ruangan atas bahagian My Competitions ini.
Ketika perlawanan berlangsung, Forza akan mengemaskini jaringan gol, kecederaan pemain, pertukaran pemain dan juga percubaan tersasar seperti percubaan terkena tiang. Tempoh masa untuk Forza mengemaskini perlawanan lebih kurang 2-4 minit. Kekerapan kemaskini perlawanan boleh diubah pada tetapan aplikasi. Ini penting untuk mengoptimumkan penggunaan bateri peranti. Video jaringan gol juga disediakan tetapi amat terhad kepada beberapa perlawanan.
Pada versi ini ditulis, versi 3.1.5 sedang diterbitkan di Google Play manakala di App Store versi 3.2 disediakan untuk pengguna iPhone dan iPad. Aplikasi ini adalah percuma. Pengguna juga boleh melayari laman sesawang FootballAddicts untuk berkenalan lebih rapat tentang aplikasi ini. Kepada kaki-kaki bola di luar sana, jangan lupa untuk dapatkan aplikasi ini di platform peranti anda. Kongsikan komentar kalian tentang aplikasi ini.
- Muat-Turun Forza Football untuk iOS
- Muat-Turun Forza Football untuk Android
- Muat-Turun Forza Football untuk Windows Phone