Cari @ Amanz

Selamat hari selasa dan seperti semalam soalan kami “apakah objek yang akan dipintarkan selesa ini?” terjawab hari ini. Semalam kami menulis tentang Power Bank pintar Braven dan hari ini ada cermin pandang belakang pintar. Ianya dihasilkan oleh Panasonic dengan kerjasama NTT Docomo. Modul cermin pandang belakang ini boleh disambungkan kepada hampir kesemua cermin pandan belakang kereta sedia ada. Ia dilengkapi skrin LCD 5″ sesentuh terbina yang boleh memaparkan ramalan cuaca, maklumat lalulintas, sistem panduan GPS,  hotspot Wifi, sistem kawalan suara dan amaran keselamatan jalan raya kepada pemandu. Sistem amaran keselamatan akan memberitahu anda sekiranya anda terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan ataupun terdapat laporan jalan yang dipandu dilitupi ais.

Panasonic-1

Terdapat juga kamera pada bahagian belakang yang boleh merakamkan pemanduan dan sekiranya kereta anda mempunyai kamera belakang, video pandangan belakang juga boleh dirakam. Setiap cermin pandang belakang ni mempunyai Kad SIM LTE terbina. Cermin pandang belakang pintar ini dicipta untuk digunakan pada kereta yang tidak mempunyai sistem paparan LCD moden. Dengan hanya memasangnya kepada cermin pandang belakang sedia anda, kereta anda mempunyai fungsi moden seperti model kereta terkini. Sebuah penyelesaian yang baik kepada masalah yang dihadapi pemilik kenderaan lama. Buat masa ini Panasonic hanya akan menjual cermin ini di Jepun. Tiada pula maklumat sama ada ianya boleh ditambat kepada peranti pintar.

Panasonic-2

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd