Microsoft telah memperkenalan Windows 10 Technical Preview sebelum ini, dimana pengguna boleh memuat-turunnya dengan mendaftar sebagai Windows Insider Program. Terkini, melalui data yang dikeluarkan Microsoft, lebih 1 juta pengguna dilaporkan telah mendaftar untuk program tersebut.
Melalui program yang disediakan Microsoft itu, pengguna boleh menguji sistem operasi Windows 10 yang masih dalam pembangunan itu, dan pada masa yang sama memberikan maklumbalas kepada pihak Microsoft secara terus.
Microsoft mengatakan mereka telah menerima lebih daripada 200,000 maklumbalas daripada pengguna dalam usaha menjadikan Windows 10 lebih menarik lagi.
Pada masa yang sama, pihak Microsoft turut berkongsi beberapa data tambahan, dimana hanya 36% pemasangan sahaja dilakukan pada VM (Virtual Machine), sebaliknya yang baki memasangnya pada PC mereka. Disamping itu, lebih daripada 68% pengguna yang menggunakannya menjalankan lebih daripada 7 aplikasi setiap hari, 25% menjalankan lebih daripada 26 aplikasi sehari, dan seramai 5% melancarkan sehingga 68% aplikasi setiap hari.
Melalui Windows 10, pihak Microsoft membawakan sedikit perubahan, dimana kini aplikasi ModernUI boleh dijalankan pada desktop dengan tetingkapnya tersendiri, selain ditambah pada menu Start. Mungkin perkara ini menyumbang kepada peningkatan penggunaan aplikasi tersebut di Windows 10 – sekaligus mungkin salah satu cara pihak Microsoft untuk memancing para pembangun membangunkan aplikasi untuknya.
Buat masa ini, tarikh pasti untuk pelancaran Windwos 10 masih tidak diketahui. Bagi anda yang masih ragu-ragu mengenai Windows 10 Technical Preview, boleh membaca ulasan kami berkenaan dengannya yang telah diterbitkan sebelum ini.