Cari @ Amanz

Realiti yang ramai tidak mahu akui ialah penjenayah selalunya lebih pintar dari pihak berkuasa. Mereka menggunakan kepandaian mereka untuk mencari kelemahan pada sistem keselamatan dan menggunakan teknologi terkini untuk membantu melakukan rompakan mereka. Jika anda menonton laporan media selepas penjenayah ditangkap anda pasti dapat melihat komputer dan peranti pintar penjenayah dirampas oleh pihak polis sebagai bahan bukti.

Remote-Wipe

Di United Kingdom pihak polis mengaku sudah berlaku enam kes bahan bukti berjaya dipadamkan dari peranti yang dirampas sebelum ianya dapat dikumpulkan. Fungsi remote wipe yang kini terbina di dalam hampir kesemua peranti digunakan oleh penjenayah bagi memudahkan proses menghapuskan bukti. Pihak polis Britain kini memperhalusi prosedur mengendali bahan bukti elektronik bagi memastikan kejadian ini tidak akan berulang pada masa hadapan. Antara prosedur yang dicadangkan ialah menggunakan beg bukti kalis gelombang radio dan meletakkan peranti di dalam ketuhar gelombang mikro secepat mungkin sebelum CSI membawa bukti ke balai polis. Sungguhpun begitu kesemua langkah pencegahan di atas tidak akan dapat menghalang bukti dari dimusnahkan sekiranya penjenayah mempunyai sistem seperti SecureDrive. Jika anda ingat minggu lalu kami ada melaporkan SecureDrive ialah cakera keras yang boleh dimusnahkan secara total dengan hanya menghantar SMS. Sistem pemusnah datanya juga akan diaktifkan secara automatik apabila ianya gagal menerima isyarat gelombang selular. Jadi sekiranya anda seorang penjenayah atau menyimpan hasrat menjadi penjenayah hanya SecureDrive mampu memastikan bukti digital jenayah anda tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Dari pengalaman peribadi kami dengan pihak PDRM dan SKMM, kami menyedari tiada beg kalis gelombang radio digunakan untuk menyimpan peranti yang dirampas. Kesemuanya hanya diletakkan pelekat bukti dan diletakkan di dalam kotak kadbod. Jadi di Malaysia peranti penjenayah yang dirampas boleh dipadam secara jarak jauh sekiranya mereka celik IT. Jadi marilah berharap penjenayah di Malaysia ini rabun IT selagi pihak berkuasa Malaysia tidak mengikut langkah polis Britain.

Sumber BBC

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd