Dengan pelbagai pengeluar hadir dengan kenderaan elektrik masing-masing, pengeluar kenderaan nasional tempatan turut tidak ketinggalan dan kini dikatakan bakal hadir dengan kenderaan elektrik tersendiri menjelang tahun 2017 kelak.
Perkara ini dikatakan oleh CEO untuk Malaysia Automotive Institute (MAI), mengatakan selain daripada Proton, satu lagi pengeluar tempatan akan turut hadir dengan kenderaan elektrik pada tempoh masa yang lebih kurang sama.
Kenderaan elektrik daripada kedua-dua pengeluar tempatan ini dikatakan akan membawa tanda harga dibawah RM100,000 sekaligus membolehkan ia bersaing dengan kompetitif dengan pelbagai pengeluar lain di pasaran. Harga yang rendah ini dikatakan akan berjaya dicapai memandangkan pembangunan, termasuk pengeluaran bateri untuk kenderaan dilakukan di Malaysia.
Pada masa yang sama, sebelum ini, pada awal Oktober lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa telah berkongsi gambar lawatan kerja ke LG Electronics R&D di Korea Selatan, dimana padanya diperlihatkan prototaip untuk Proton Iriz EV. Untuk model prototaip berkenaan, ia dikatakan mampu berjalan sehingga 240km pada satu cas penuh.
Mungkin kita akan mendengar lebih lanjut mengenai kenderaan elektrik daripada Proton dan pengeluar lain ini dalam bulan ke bulan akan datang.