Nampaknya syarikat pengeluar peranti dari China kini bakal memfokuskan kepada jualan melalui online, dimana selepas kejayaan Xiaomi, beberapa syarikat lain turut mengikut jejak. Mengikut laporan terbaru, Lenovo dikatakan bakal hadir dengan sebuah jenama peranti baru, dan akan memfokuskan sepenuhnya kepada jualan atas-talian, selain lebih mendekati pelanggan dan menawarkan aplikasi khusus melaluinya.
Jenama berasingan akan digunakan untuknya, dan jenama baru tersebut dijangka akan diperkenalkan oleh Lenovo pada April 2015 kelak.
Sebelum ini, Huawei turut melakukan perkara yang lebih kurang sama, dimana mereka menggunakan jenama Huawei untuk jualan melalui pengedar, sementara jenama Honor digunakan untuk jualan khusus melalui online.
Lenovo juga akan kekal menjual peranti di kedai dan melalui pengedar seperti biasa, sementara peranti dibawah jenama baru ini akan ditawarkan secara atas-talian sahaja.
Mungkinkah selepas ini lebih ramai pengeluar akan hadir dengan konsep lebih kurang sama?