Facebook hari ini menambah sebuah fungsi baru pada perkhidmatan sosial mereka, dinamakan sebagai “Safety Check”. Melaluinya, Facebook ingin membolehkan anda berkongsi status semasa anda sama ada selamat ataupun sebaliknya ketika berada di lokasi bencana.
Seperti umum sedia maklum, Facebook telah menjadi salah satu medium utama untuk berkongsi pelbagai perkara, termasuk ketika berada di kawasan bencana atau berhampiran seperti gempa bumi, banjir, dan sebagainya.
Melalui fungsi baru ini, menggunakan sokongan geolokasi, pihak Facebook akan memperlihatkan sebuah notifikasi sekiranya anda berada di kawasan yang terkesan disebabkan sesuatu bencana. Pihak Facebook mengatakan notifikasi ini akan diperlihatkan berdasarkan lokasi bandar anda di Facebook, atau lokasi dimana anda menggunakan peranti anda.
Melalui notifikasi berkenaan, pengguna boleh memilih sama ada anda selamat, ataupun turut memilih yang mana anda berada di luar kawasan sekiranya tidak berada di lokasi tersebut.
Sebaik sahaja anda membuat pilihan, ia akan dihantar kepada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat, sekaligus membolehkan mereka mengetahui yang mana anda berada dalam keadaan selamat.