Apple Memperkenalkan iPad Air 2 – Cip A8X, TouchID, Kamera Belakang 8MP iSight

Apple Memperkenalkan iPad Air 2 – Cip A8X, TouchID, Kamera Belakang 8MP iSight

Diterbitkan pada Okt 17, 2014 oleh .

Menjadi fokus utama pada acara Apple kali ini adalah pengenalan tablet terbaru mereka. Apple memperkenalkan dua buah tablet pada acara ini, dimana diperkenalkan terlebih dahulu adalah iPad Air 2, yang dikatakan sebagai tablet yang paling nipis di pasaran hari ini.

Menurut Tim Cook, pada hari ini, sebanyak 225 juta iPad telah terjual sejak ia diperkenalkan pada tahun 2010 lepas, dan lebih kurang 675,000 aplikasi yang dioptimasikan khusus untuknya terdapat di AppStore.

iPad Air 2

iPad Air 2 dilihat hadir dalam pilihan warna putih, hitam dan emas, membawakan rekaan yang lebih 18% nipis berbanding generasi sebelumnya. Pada masa yang sama, skrinnya kini turut diliputi dengan sokongan anti-reflective, mengurangkan 56% pantulan berbanding sebelumnya.

Untuk pemprosesan pula, Apple iPad Air 2 menggunakan cip A8X, yang mana merupakan cip generasi baru, dan merupakan versi yang sedikit dikemaskini berbanding pada iPhone 6.

iPad Air 2 menawarkan masa bertahan bateri sehingga 10 jam, selain turut dilengkapi dengan cip M8 untuk memantau gerakan.

iPad Air 2

Apple turut merasakan yang mana ramai menggunakan tablet untuk merakam gambar, dan untuknya kini mereka menyertakan kamera 8-megapixel iSight dengan sokongan rakaman video 1080p. Dengan sensor kamera yang dinaik-taraf, pihak Apple turut menyertakan beberapa mod rakaman, termasuk Burst Mode, HDR, dan Timelapse.

Seperti pada iPhone, pihak Apple turut melengkapkan tablet baru ini dengan sokongan TouchID untuk memudahkan pengguna membuat pembelian menggunakan iTunes, selain mengakses tablet mereka.

iPad Air 2


TIPS & ULASAN