Selain pengumuman berkenaan Apple Watch dan iPad, pihak Apple turut mengambil sedikit masa untuk memperkenalkan iMac terbaru daripada mereka, yang mana kini ia hadir dengan skrin paparan Retina.
iMac Retina ini hadir dengan skrin bersaiz 27-inci, dan seperti laporan awal sebelum ini, ia hadir dengan paparan pada resolusi 5k (5210×2880 pixel). Pihak Apple mengatakan ia menyertakan 67% lebih pixel berbanding dengan paparan 4K.
Untuk menawarkan penggunaan yang menarik, pihak Apple menyertakan sebuah cip khusus untuk mengawal paparan, dinamakan sebagai “Timing Controller”.
Apple turut mengatakan ia menggunakan tenaga yang rendah, walaupun menyertakan skrin pada resolusi tinggi. Melalui penggunaan skrin 5K, ia sekaligus memudahkan pengguna kreatif untuk membuat suntingan video 4K dengan mudah menggunakannya.
Dari segi spesifikasi, ia menggunakan cip pemprosesan Intel Core i5 3.5Ghz, kad grafik AMD Radeon R9, 1TB Fusion Drive, sokongan Thunderbolt 2.
iMac dengan paparan 5k Retina ini akan dijual bermula harga RM7999, dan boleh ditempah melalui Apple Store Malaysia hari ini.