Asus Malaysia hari ini telah menambah tawaran komputer riba dibawah kategori memfokuskan permainan video dan multimedia, iaitu keluarga siri ROG G yang baru, G551. Komputer riba ini hadir dalam dua variasi (perbezaan memori), dan boleh didapati pada harga bermula RM3499.
Asus Republic of Gamers G551 ini hadir dengan rekaan kerangka berasaskan aluminium berwarna hitam-matte, dan beberapa elemen berwarna merah. Seperti keluarga ROG lain, ia hadir dengan papan kekunci yang dioptimasikan untuk permainan, dan turut dilengkapi dengan sistem penyejukkan tersendiri dengan bunyi kipas yang sangat minimum.
Dari segi spesifikasi, ia menggunakan skrin bersaiz 15.6-inci dengan paparan 1920×1080 pixel, dijana menggunakan cip pemprosesan Intel Core i7 generasi ke-4, kad grafik NVIDIA GeForce GTX 860M, sokongan HDMI, dan dilengkapi dengan teknologi audio SonicMaster Premium.
Di Malaysia, Asus ROG G551 ini boleh didapati bermula hari ini, dimana model G551JM-DM052H yang hadir dengan Core i7, 4GB DDR, dan GeForce GTX860M (2GB) dijual pada harga RM3499. Model G551JM-DM053H pula akan dijual pada penghujung Oktober ini dengan Core i7, 8GB DDR dan GeForce GTX860M (4GB) pada harga RM4099.
http://www.youtube.com/watch?v=dub4pe8I-7I