Cari @ Amanz

 

HTC suatu ketika dahulu adalah nama besar di dalam penghasilan peranti Android. HTC adalah syarikat pertama yang menghasilkan peranti Android pada tahun 2008 dengan Droid G1. Beberapa tahun selepas itu nama HTC semakin meningkat dan peranti mereka terkenal dengan kemampuan kamera yang pantas berbanding peranti keluaran syarikat lain. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini rezeki HTC tidak berapa elok. Peratusan pegangan yang dahulunya mencecah 10% kini mengecut kepada 5% manakala nilai saham syarikat pula merudum sebanyak 80 peratus. Peranti HTC One M7 yang hadir pada tahun 2013 berjaya memenangi beberapa anugerah dan meningkatkan jumlah jualan. Namum begitu peranti ini tidak terjual dengan jumlah yang banyak berbanding pesaing.

Rekaan

HTC Butterfly 2
Pemproses 2.5 GHZ Empat Teras Snapdragon 801
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 16/32 GB Sokong kad MikroSD sehingga 128 GB
Kamera Utama 13 MP dengan flash berkembar
Kamera Depan 5 MP
Skrin 5″ Super LCD3 1080P 441 PPI
Bateri 2700 mAh
SIM Nano
Harga RM 2299

Dengan HTC Butterfly 2, HTC memasarkan sebuah  lagi peranti kalis air. Sebelum ini HTC Butterfy mempunyai tahap ketahanan IPX5. Dengan Butterfly 2 tahap ketahanan dinaikkan lepada IPX7.  Apakah perbezaan diantara IPX5 dan IPX7? IPX5 memberikan ketahanan dari percikan air tetapi IPX7 memberikan ketahanan peranti direndam pada kedalaman 1 meter. Ini bermakna Butterfly 2 mempunyai ketahanan setanding dengan Sony Xperia Z3.

Dari segi rekaan dan spesifikasi peranti ini serupa dengan One M8. Ia mengekalkan pemproses 2.5 GHz empat teras Snapdragon 801, RAM 2 GB dan  muatan dalaman 16/32 Gigabyte. Perbezaan hanya berlaku pada bahan binaan, saiz sensor kamera dan kapasiti bateri. Tubuh aluminium M8 digantikan dengan tubuh polikarbonat licin. Pada bahagian depan kekisi logam digantikan dengan kekisi plastik. Lokasi pembesar suara stereo Boomsound ini juga lebih terkeluar. Butang kuasa dan pemancar infra merah terletak di bahagian atas manakala butang suara terletak pada bahagian kanan peranti. Pada bahagian bawah pula terdapat port pengecas Mikro USB dan jack fon kepala. Butang suara Butterfly 2 terdiri daripada 2 butang berbeza dan bukannya sebuah butang besar seperti yang digunakan pada One M8. Pada sisi yang sama terdapat slot Nano SIM jenis talam yang ditarik. Talam boleh ditarik dengan jari dengan mudah tanpa memerlukan jarum peniti. Sebagai pengguna yang kerap bertukar ganti peranti, kami sukakan rekaan slot SIM ini. Pada bahagian kiri pula terdapat slot kad MikroSD yang juga mudah dibuka. Peranti ini menyokong penambahan memori dalaman sehingga 128 Gigabyte.
Dari segi rekaan dan spesifikasi peranti ini serupa dengan One M8. Ia mengekalkan pemproses 2.5 GHz empat teras Snapdragon 801, RAM 2 GB dan muatan dalaman 16/32 Gigabyte

Kamera 13 Megapixel dengan flash berkembar menggantikan kamera Ultrapixel 4 Megapixel One M8. Bateri sebesar 2700 mAh digunakan berbanding 2600 pada One M8.  Sungguhpun menggunakan bahan polikarbonat dan bukannya aluminium, Butterfly 2 hanya 9 gram lebih ringan berbanding One M8.

Tiada butang kapasitif pada bahagian hadapan. Terdapat tiga butang pada skrin dengan butang home dihimpit butang multi tasking pada bahagian kanan dan butang back pada bahagian kiri.

Menggunakan Butterfly 2 adalah persis menggunakan One M8. Ianya adalah dua peranti yang boleh dikatakan serupa. Oleh sebab itu kesemua aksesori One M8 seperti Dot Cover boleh digunakan oleh Butterfly 2 tanpa masalah. Ianya selesa dipegang dengan sebelah tangan kerana bahagian belakang yang melengkung. Di akhir hari Butterfly 2 ialah sebuah One M8 yang ditukar kameranya dan diberikan kemampuan kalis air.

[amanz-gallery]

 


Sense 6 UI

Boomsound kali ini diberikan sokongan JBL Live Stage yang menjanjikan kualiti audio yang lebih mantap. Sense 6.0 adalah antaramuka minimalis yang cukup kami gemari sejak digunakan pada One M7. Tidak ada animasi melampau dan kesemua elemen antaramuka menggunakan flat design. Tidak terdapat banyak fungsi tambahan disertakan oleh Sense 6 berbanding yang ditawarkan oleh pesaing seperti Samsung. Majoriti fungsi yang ada menyerupai stock Android. Penambahan yang dilakukan oleh HTC adalah fungsi Blinkfeed dan HTC Zoe.

Fungsi kustomasi juga terhad jika dibandingkan dengan peranti Xiaomi dan Oppo. Anda hanya boleh melakukan perubahan tema warna sahaja. Tiada perubahan set ikon dan elemen antaramuka disertakan untuk Sense 6. Sistem tatalan pada paksi Y sahaja pada talam aplikasi juga masih dikekalkan. Sebagai pengguna pelbagai peranti Android, sistem tatalan menegak pada Sense 6 ini masih sedikit mengelirukan kami yang sudah bertahun terbiasa dengan tatalan mendatar pada peranti lain.

Rekaan minimalis antaramuka Sense 6 mungkin tidak cantik pada pandangan majoriti pengguna tetapi pada pendapat kami ianya cukup menarik. Kami sudah bosan dengan rekaan antaramuka yang mengajuk IOS. Rekaan minimalis ini juga membuatkan kelajuan tatalan dan melancarkan aplikasi berlaku dengan lancar. Kekurangan yang mungkin boleh diperbaiki ialah masalah pada perisian papan kekunci. Ia mempunyai masalah mengenal pasti apa yang dieja sungguhpun kami sudah melakukan tetapan dwi bahasa. Apabila fungsi “suggest the next word “ diaktifkan ia akan melakukan pembetulan automatik perkataan tanpa kebenaran. Ini mengakibatkan perkataan bahasa Malaysia yang ditaip berubah menjadi bahasa Inggeris. Pada peranti lain kami tidak pernah mengalami masalah ini. Peranti dengan mudah dapat mengagak apa yang kami ingin eja dan memberikan saranan ejaan yang betul tanpa mengubah ejaan tanpa kebenaran. Untuk menyelesaikan masalah ini kami terpaksa mematikan fungsi suggest the next word. Sebagai hamba Allah yang mempunyai masalah mengeja, apabila fungsi ini dimatikan ia menyusahkan kami untuk menaip dengan ejaan yang tepat. Ya kami mengaku typo kami memang terkenal tetapi tanpa fungsi saranan ejaan perkataan, typo kami akan melebihi tahap 9000.

Boomsound kali ini diberikan sokongan JBL Live Stage yang menjanjikan kualiti audio yang lebih mantap. Kami membezakan kualiti bunyi Butterfly 2 dengan HTC One M7 dan secara ikhlas kami merasakan pembesar suara M7 adalah lebih baik. Kepadatan bunyi bass dan kelancangan treble Beats Audio M7 adalah lebih ketara. Antara alasan kenapa pembesar suara Butterfly 2 tidak sebaik M7 (dan juga M8) ialah terdapat membran tambahan pada kekisi peranti ini untuk menghalang air dar memasuki bahagian dalaman peranti. Ini menyebabkan berlaku redaman bunyi yang agak ketara.



 

Motion Launch – Sistem Kawalan Jari

Motion Launch berfungsi seakan tap to wake yang ada pada Nexus 5 dan Oppo N1. HTC melakukan penambahan di mana dengan melakukan gerakan jari (gesture) anda boleh melakukan beberapa pintasan ke atas beberapa fungsi penting. Menekan skrin sebanyak dua kali akan menghidupkan skrin secara automatik.  Menggerakkan jari dari kiri ke kanan ketika skrin dimatikan akan membuka terus skrin Blinkfeed. Pergerakan jari kanan ke kiri ketika skrin dimatikan pula akan membawa anda terus ke skrin utama tanpa anda perlu melakukan nyahkunci. Jika pergerakan bawah ke atas dilakukan pula anda akan dibawa terus ke aplikasi terakhir anda gunakan sebelum skrin ditutup dan akhir sekali bawah ke atas pula melancarkan sistem kawalan suara Google Now.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

HTC Dot View Cover

Seperti yang kami katakan pada perenggan awal, penutup Dot View One M8 boleh digunakan pada Butterfly 2.  Pentutup bahagian hadapan Dot View diperbuat daripada getah dan mempunyai ratusan lubang yang ditebuk. Apabila anda melakukan pergerakan jari seperti menekan skrin sebanyak dua kali skrin peranti akan memaparkan informasi menembusi lubang-lubang ini. Sayangnya ia bukan penutup magnetik yang melekap secara terus kepada skrin. Ini mungkin akan menjengkelkan sebahagian pengguna. Yang menarik tentang Dot View ini ialah anda boleh menjawab telefon seperti biasa tanpa penutup dibuka terlebih dahulu. Hanya gerakkan jari pada ikon mengangkat telefon yang terpapar pada hadapan penutup dan anda boleh menjawab telefon seperti biasa.

 

 


Kamera

Kamera  13 Megapixel ialah fungsi paling unik pada Butterfly 2. Ia memberikan peranti ini beberapa fungsi unik seperti kesan tiga dimensi, foregrounder dan pemfokusan semula selepas foto diambil.  Pada bahagian hadapan pula kamera 5 Megapixel dengan lensa sudut lebar digunakan bagi memudahkan pengambilan foto selfie. Penggunaan sensor berkembar 13 Megapixel ini agak mengejutkan kerana pihak HTC kerap kali mengatakan megapixel adalah tidak penting. HTC akhirnya menyerah kalah kepada kemahuan pasaran dan sistem kamera Ultrapixel ciptaan mereka sudah terkubur.

Antaramuka kamera Butterfly 2 mempunyai beberapa kelemahan. Pada peranti Android lain terdapat butang mengambil gambar dan merekod video pada skrin yang sama. Pada Butterfly 2 jika anda ingin mengambil video  anda perlu memasuki skrin pemilihan mod terlebih dahulu untuk memilih mod rakaman video. Dari skrin yang sama anda perlu menekan butang yang kecil pada tepi sebelah kiri untuk memilih mod rakaman biasa, HD penuh ataupun gerak perlahan. Ya hanya terdapat tiga pilihan mod rakaman. Tiada sokongan mengambil video 4K pada peranti ini. Ini adalah aneh Galaxy Alpha yang mempunyai kamera yang lebih kecil (12 MP) menyokong rakaman 4K. Xperia Z3 yang menggunakan pemproses yang sama dengan Butterfly 2 juga menyokong mod rakaman ini.

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan kamera Butterfly 2



Ujian mode U Focus yang melakukan pemofusan semula. Mod ini hanya berfungsi dengan baik sekiranya jarak objek depan dan belakang adalah besar. Ianya tidak sempuran tetapi setelah menggunakan fungsi yang sama pada peranti Galaxy Alpha dan Xperia Z3, kami menyedari kesan bokeh pada Butterfly2 adalah yang paling baik sungguhpun tidak sempurna.

 

Kesan khas 3D Effect ialah sebuah lagi fungsi khas yang disertakan pada Butterfly 2. Kesan khas ini adalah gimik yang pernah kami lihat pada HTC  Evo 3D dahulu. Kesan khas kelihatan lebih ketara pada peranti dan bukannya pada laman web seperti yang anda lihat di bawah.

Kesimpulan

Jika dibandingkan dengan gambar yang diambil menggunakan Galaxy Alpha dan Xperia Z3 kami menyedari kualiti gambar Butterfly2 adalah sedikit kusam. Warna gambar sedikit kusam berbanding dua peranti yang kami sebutkan tadi. Keperincian dan ketajaman gambar juga tidak dapat menandingi dua peranti di pesaing ini. Beberapa fungsi tambahan seperti U Focus dan 3D Effect adalah menarik tetapi kami rasakan ianya adalah gimik yang tidak akan digunakan dengan kerap. Bagi penggunaan gambar di media sosial gambar yang diambil Buttefly 2 adalah memandai tetapi apabila dilihat pada komputer beberapa kekurangan terserlah.

Video

Video HD penuh peranti ini adalah memandai sungguhpun begitu ketiadaan OIS membuatkan video yang diambil agak bergegar apabila anda bergerak. Ketiadaan mod rakaman 4K juga mengecewakan kerana ianya mod wajib bagi peranti kelas tertinggi di pasaran sekarang.


Penanda Aras

Dengan pemproses 2.5 GHz empat teras Snapdragon 801, Butterfly 2 menggunakan pemproses yang serupa seperti yang digunakan Xperia Z3, Oppo Find 7 dan One M8. Jadi keputusan penanda aras di bawah adalah dijangkakan dan markah yang dicatatkan adalah hampir setanding. Sungguhpun begitu markah yang dicatatkan Butterfly 2 adalah tinggi sedikit berbanding dengan Xperia Z3 dan Find 7. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mengalami sebarang masalah lengah masa ataupun aplikasi gagal berfungsi. Tatalan adalah lancar dan penukaran aplikasi berlaku serta merta.



Bateri

Bateri 2700 mAh digunakan pada Butterfly 2 dan ini adalah penambahbaikan sebanyak 100 mAh dari One M8. Ini adalah lebih kecil berbanding Xperia Z3 yang dilengkapi bateri sebesar 3100 mAh. Pada penggunaan paling ringan peranti mampu berfungsi selama 31 jam. Pada penggunaan sederhana ia mampu digunakan selama hampir 12 jam manakala pada penggunaan paling berat ia mampu bertahan selama hampir 9 jam. Jangka hayat bateri peranti ini adalah hampir dengan median kebanyakan peranti yang kami ulas. Namun begitu ia masih belum menandingi ketahanan bateri Z3. Ini adalah dijangka kerana kapasiti bateri peranti ini yang lebih kecil. Seperti Z3, Butterfly 2 juga mempunyai mod Extra Saver yang mengurangkan penggunaan bateri secara mendadak di dalam situasi kecemasan. Kami juga menyedari sungguhpun saiz baterinya lebih kecil berbanding Z3, masa yang diambil untuk mengecas dari 0-100% adalah lebih lama.


Penutup

Pasaran peranti kalis air dan debu semakin hangat dan kehadiran HTC Butterfly 2 adalah sangat dialu-alukan.  Sebenarnya Butterfly 2 adalah sebuah One M8 yang diberikan kemampuan kalis air dan kamera yang baru. Bada besi M8 digantikan dengn tubuh polikarbonat. Tubuh besi sememangnya lebih cantik tetapi dari pengalaman kami tubuh polikarbonat lebih tahan hentakan dan calar. Berbeza dengan pesaing terhampirnya iaitu Xperia Z3, port pengecas peranti ini terbuka dan memudahkan proses mengecas. Kemampuan kalis air peranti ini bagus tetapi kami menyedari pembesar suara Boomsound dengan JBL Live Stage tidak sekuat yang ada pada One M7. Bunyi adalah sedikit teredam kerana terdapat membran tambahan bagi mengelakkan air memasuki bahagian dalaman peranti.

Spesifikasinya bagus dengan markah penanda aras yang tinggi. Ketahanan bateri adalah baik juga dengan hayat skrin mencecah hampir 9 jam digunakan berterusan. Sungguhpun begitu kemampuan kamera adalah sedikit mengecewakan kerana gambar yang tidak berapa tajam. Fungsi tambahan yang disediakan adalah baik tetapi antaramuka untuk mengakses fungsi-fungsi adalah tidak mesra pengguna. Proses penangkapan gambar juga sangat pantas berbanding pesaing.

Adakah anda harus memiliki peranti ini? Jika anda boleh memaafkan kualiti gambar yang sedikit mengecewakan kami rasakan Butterfly 2 adalah peranti yang memuaskan. Tetapi di pasaran sekarang sudah terjual Xperia Z3 yang mempunyai kemampuan kamera dan bateri yang lebih baik dengan harga yang hampir sama. Butterfly 2 bukanlah peranti yang lemah tetapi ia bersaing dengan Z3 yang mempunyai beberapa kelebihan berbandingnya. Jika Butterfly 2 ialah sebuah pasukan bolasepak ia adalah Real Madrid dan Z3 pula ialah Barcelona. Kedua-duanya adalah pasukan bolasepak yang hebat tetapi Chelsea mempunyai sedikit kelebihan. Perbezaan yang sedikit tetapi jika anda mahukan nilai wang yang lebih baik Z3 adalah peranti yang lebih kami sarankan

 

PRO dan Kelebihan
  • Spesifikasi yang tinggi. Setanding dengan kesemua peranti kelas tertinggi yang kini sudah berada di pasaran.
  • Badan polikarbonat tahan lasak. Bahagian belakang melengkung selesa untuk digenggam
  • Kalis air dan debu walaupun port pengecas terbuka tidak seperti Xperia Z3 dan Galaxy S5
  • Pembesar suara stereo di bahagian hadapan
  • Duo Camera dengan beberapa fungsi kesan khas yang menarik
KONTRA dan Kekurangan
  • Antaramuka kamera kurang mesra pengguna. Kualiti gambar juga hanya sederhana.
  • Tiada rakaman 4K

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd