Cari @ Amanz

Dengan pengenalan Android 5.0 Lolipop secara rasminya, semestinya salah satu perkara yang menjadi teka-teki ramai pengguna Android adalah sama ada adakah peranti mereka akan menerima kemaskini Android 5.0 Lolipop ataupun sebaliknya.

Sehingga kini, beberapa pengeluar peranti telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan dengan kemaskini Android 5.0 Lolipop untuk produk keluaran mereka.

HTC

HTC merupakan yang paling awal mengeluarkan kenyataan, dimana mereka telah mengatakan kemaskini Android 5.0 Lolipop akan hadir ke HTC One M7 dan juga HTC One M8 dalam tempoh 90 hari sejak ia dilancarkan.

HTC One M8

Selain kedua-duanya, mereka turut akan membawakan kemaskini sama kepada HTC One Mini.

Info mengenai kemaskini Android 5.0 Lolipop untuk HTC Butterfly 2 masih tidak dikongsikan, tetapi mengikut trend sebelum ini, tidak mustahil untuk ia menerimanya. Selain daripada itu, ketika pengenalan HTC Desire 820, mereka pernah mengatakan yang mana cip yang digunakannya adalah mesra Android 5.0 Lolipop – dan memberikan idea seperti ia mungkin menerimanya juga.


Sony

Sony telah mengeluarkan komen rasmi, mengatakan keseluruhan peranti dibawah keluarga Xperia Z akan menerima kemaskini Android 5.0 Lolipop, dan dimulakan dengan Xperia Z3 dan Xperia Z2 pada awal tahun 2015.

Sony Xperia

Antara peranti dibawah keluarga Xperia Z yang akan menerima kemaskini Android 5.0 Lolipop adalah Xperia Z, Xperia ZL, Xperia ZR, Xperia Tablet Z, Xperia Z1, Xperia Z1s, Xperia Z Ultra, Xperia Z1 Compact, Xperia Z2, Xperia Z2 Tablet, Xperia Z3, Xperia Z3 Compact, dan juga Xperia Z3 Tablet Compact.


Nexus

Android 5.0 Lolipop

Google akan menawarkan kemaskini Android 5.0 Lolipop kepada peranti-peranti dibawah keluarga Nexus, yang mana meliputi Nexus 4, Nexus 5, Nexus 7, dan juga Nexus 10.


Motorola

Motorola Lolipop

Motorola sejak pengenalan peranti dibawah keluarga “Moto” telah mula menawarkan kemaskini pantas kepada peranti-peranti mereka. Untuk Android 5.0 Lolipop, Motorola mengatakan yang mana peranti Moto X (2013), Moto G (2013), Moto G 4G LTE, dan juga Moto E akan menerimanya.


OnePlus

OnePlus One

Pihak OnePlus hanya mempunyai satu peranti sahaja dibawah penawaran mereka, iaitu OnePlus One. Menurut mereka, peranti yang menggunakan sistem operasi berasaskan kepada CyanogenMod tersebut akan menerima kemaskini Android 5.0 Lolipop dalam tempoh 90 hari sejak pelancaran pihak Google.


Samsung

TouchWiz Android L

Pihak Samsung masih senyap tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan dengan Android 5.0 Lolipop. Mengikut beberapa info tertiris sebelum ini, sebuah video telah hadir memperlihatkan TouchWiz versi Android 5.0 Lolipop, dan dikatakan akan ditawarkan kepada Samsung Galaxy S5 dan Galaxy Note 4 seawal mungkin.


Asus

Asus Padfone S

(Ditambah pada 28 Oktober) Pihak Asus melalui forum rasmi mereka, ZenTalk telah mengesahkan yang mana kemaskini Android 5.0 Lolipop akan hadir kepada peranti Zenfone 4, Zenfone 5, Zenfone 6, Padfone S pada bulan April 2015 depan, selain Padfone Infinity pada Jun 2015.

Lain-Lain

Pelbagai pengeluar lain masih senyap dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan dengan bilakah kemaskini Android 5.0 Lolipop akan hadir ke peranti mereka. Kami akan mengemaskini artikel ini dengan kemaskini semasa mengikut komen yang dikeluarkan oleh pihak pengeluar peranti dari semasa ke semasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd