Carian
Lebih 19,000 Pengguna MacBook Pro 2011 Menghadapi Masalah Kad Grafik
October 19, 2014 Ikhwan Nazri

Isu Bendgate yang menyatakan telefon terbaru keluaran Apple iaitu iPhone 6 Plus yang mudah dibengkokkan kini mungkin reda, namun satu lagi isu yang sedang hangat diperkatakan dikalangan pengguna Apple adalah kegagalan kad grafik pada MacBook Pro keluaran tahun 2011. Kini, lebih dari 19,000 tandatangan telah dikumpulkan melalui laman Change.com yang menuntut Apple untuk memberikan ganti rugi bagi unit yang menghadapi kegagalan tersebut.

Kebanyakan MacBook Pro keluaran tahun 2011 tersebut didapati menghadapi masalah apabila menggunakan kad grafik AMD. Sebelum kehadiran MacBook Pro Retina pada tahun 2014, MacBook Pro bersaiz 15 inci mempunyai dua kad grafik iaitu kad grafik Intel HD 3000 yang berfungsi untuk menjana grafik pada kegunaan biasa, dan kad grafik AMD atau NVIDIA yang dikhususkan (discrete graphic card) untuk tugas-tugas penjanaan grafik yang berat seperti permainan video, penyuntingan dan penghasilan video. Sistem operasi OSX akan memilih kad grafik yang bersesuaian bergantung kepada aplikasi yang dijalankan. Masalah pada unit sebegini berlaku apabila pengguna ingin melakukan tugas-tugas yang berat sekaligus menghasilkan anomali pada paparan antaramuka. Bagi sesetengah pengguna, kegagalan tersebut turut mengakibatkan MacBook Pro tidak dapat digunakan kerana tidak boleh melepasi tahap log masuk OSX.

IMG_5031-mbp rosak 2

Sejumlah pengguna yang menghadapi masalah ini dilaporkan telah menukar kad grafik dan logic board yang masih mempunyai jaminan AppleCare namun masalah sama turut berulang. Hal ini menimbulkan ketidakpuashatian dikalangan pengguna oleh kerana harga MacBook Pro 2011 sekitar RM5,499-RM7,999. Saya sendiri menghadapi masalah yang sama dan bagi menukar kad grafik dan logic board memerlukan RM2,300 kerana jaminan 3 tahun AppleCare telah tamat tempoh.

Bagi anda yang menghadapi masalah dengan MacBook Pro 2011, atau telah melakukan gantian terhadapnya, terdapat firma guaman di Amerika yang sedang dalam proses untuk mendakwa Apple melalui class action lawsuit dan mengharapkan gantirugi setimpal buat pengguna yang menghadapi masalah ini. Meskipun ia tidak diketahui adakah langkah sebegini bakal membuahkan hasil, terdahulu Apple telah memberikan gantirugi untuk iMac keluaran 2011 yang turut menghadapi masalah kad grafik, serta pada bulan Ogos yang lepas Apple memberikan gantian bateri percuma untuk pengguna iPhone 5 yang menghadapi masalah bateri.

Komen